Bot PATI karam: Dua maut, enam hilang, 19 selamat

 Bot PATI karam: Dua maut, enam hilang, 19 selamat

Beberapa PATI warga Indonesia yang terselamat selepas bot yang dinaiki terbalik dan karam semasa dikejar pihak berkuasa pada kedudukan 0.8 batu nautika Teluk Ramunia, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Sebuah bot yang membawa 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) terbalik dan karam semasa dikejar bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang melakukan rondaan Op Benteng pada kedudukan 0.8 batu nautika Teluk Ramunia, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi itu, bot membawa PATI tersebut bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran bot TLDM.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, semasa memecut untuk melarikan diri, bot PATI berkenaan hilang imbangan lalu terbalik dan mengakibatkan dua wanita lemas, 19 berjaya diselamatkan, manakala enam lagi hilang.

“Terdahulu pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mendapat maklumat menerusi Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) mengenai kejadian itu pada jam 4.50 pagi dilaporkan TLDM mengenai sebuah bot yang disyaki membawa 27 PATI karam.

Anggota Maritim Malaysia menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat baki enam PATI yang masih hilang selepas bot dinaiki terbalik dan karam awal pagi ini.

“Sebelum itu pada jam 3.45 pagi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia telah mengesan satu sasaran curiga sedang bergerak dari perairan Pulau Bintan, Indonesia menuju ke perairan negara.

“Kemudian pihak Maritim Malaysia menyalurkan maklumat kepada aset TLDM KD Sri Indera Sakti yang dalam penugasan Op Benteng,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aset TLDM telah mengesan bot PATI berkenaan pada jam 4.10 pagi sebelum mengejarnya sebelum karam.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan hingga kini.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =