Bot karam 5 mayat ditemui, pencarian masih diteruskan

 Bot karam 5 mayat ditemui, pencarian masih diteruskan

KOTA TINGGI: Kejadian bot karam yang mengorbankan beberapa jiwa telah ditemui hari ini setelah mayat mereka dijumpai di Perairan Tanjung Balau.

Difahamkan, lima mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai hilang dalam insiden bot pancung karam di Perairan Tanjung Balau, ditemui berhampiran lokasi kejadian awal pagi tadi.

Memetik sumber Berita Harian, Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Kepten Simon Templer Lo Ak Tusa, berkata mayat yang ditemui ialah tiga lelaki dan dua wanita.

Katanya, mayat pertama, lelaki ditemui seawal jam 6.45 pagi pada jarak 10 meter (m) dari Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC).

“Diikuti mayat kedua juga lelaki ditemui pada 6.52 pagi dengan jarak masing-masing 100m dari PHC manakala mayat seterusnya iaitu lelaki dan perempuan ditemui pada jam 7.30 pagi dengan dua kilometer dari PHC.

“Mayat kelima, wanita pula ditemui pada jam 7.45 pagi dengan jarak 2.5 kilometer dari PHC,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Lima mayat ditemui : Sumber Berita Harian

Simon berkata, dengan penemuan ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa seramai 30 orang iaitu 14 mangsa selamat dan 16 mangsa meninggal dunia.

Katanya, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama agensi sahabat meneruskan Op Carilamat hari kedua bagi mengesan lagi baki lebih kurang 20 mangsa yang masih belum temui berikutan insiden bot karam yang membawa lebih kurang 50 PATI, semalam.

“Op Carilamat hari ini, membabitkan keluasan 147 batu nautika pencarian di laut sekitar perairan Tanjung Balau dengan kekuatan aset Kapal Maritim (KM) Tegas dan bot Petir 50 Maritim Malaysia serta aset daripada agensi lain.

“Pencarian sektor udara seluas 76.5 batu nautika menggunakan sebuah pesawat udara AW139 Maritim Malaysia,” katanya.

Semalam, 11 warga Indonesia ditemukan lemas di pantai berkenaan apabila bot dinaiki mereka karam dalam cuaca buruk dan ombak tinggi, pada awal pagi.

Seramai 14 lagi pendatang tanpa izin di dalam bot itu selamat manakala 25 orang dipercayai hilang.

Difahamkan sehingga kini, pencarian masih lagi diteruskan untuk mencari baki 11 orang warga pendatang tanpa izin di lokasi kejadian.

Izz Fizz

izz@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

37  +    =  41