Bomba pindahkan 16 mangsa banjir terperangkap dalam rumah

 Bomba pindahkan 16 mangsa banjir terperangkap dalam rumah

Anggota bomba memindahkan mangsa banjir selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Laut, Skudai, Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU, 13 Jul  — Seramai 16 mangsa banjir yang terperangkap dalam rumah mereka diselamatkan pihak bomba selepas Kampung Laut, Skudai di sini dinaiki air berikutan hujan lebat, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan II Kamalrulzaman Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu jam 8.28 malam.

Menurutnya, seramai 12 anggota berserta empat jentera termasuk sebuah bot utiliti telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di sana, didapati terdapat seramai 16 mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat dengan kedalaman air setinggi tiga kaki.

“Kesemua mangsa dipindahkan menggunakan bot ke kawasan lebih selamat dan dihantar ke rumah saudara mara terdekat,” katanya hari ini.

Kamarulzaman berkata, mangsa yang terlibat terdiri daripada tiga warga emas, tujuh individu dewasa serta enam kanak-kanak.

Setelah memastikan kesemua pihak berada dalam keadaan selamat, operasi ditamatkan jam 12.15 tengah malam.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  8  =  15