Boleh pakai baju bersesuaian, sopan dan kemas jika belum punyai baju sekolah – KPM

 Boleh pakai baju bersesuaian, sopan dan kemas jika belum punyai baju sekolah – KPM

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 24 Feb —  Ibu bapa boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah dibenarkan memakai pakaian biasa sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan 2021.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan kebenaran itu diberikan bermula 1 Mac hingga 26 Mac depan.

Menurut KPM, kementerian itu menerima pertanyaan daripada ibu bapa mengenai peraturan pemakaian pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

“Untuk makluman, murid perlu memakai pakaian seragam untuk hadir ke sekolah seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah.

“Bagaimanapun, mengambil kira keadaan semasa, KPM ingin memaklumkan murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah diberi kebenaran memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah,” katanya hari ini.

Justeru, KPM berharap kebenaran ini akan membolehkan semua murid kembali hadir ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka.

Pada 19 Februari lalu, KPM mengumumkan tarikh pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka yang dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Mac depan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

18  +    =  22