Boleh beraya di kampung jika KKM berpuas hati

 Boleh beraya di kampung jika KKM berpuas hati

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 22 Mac — Kerinduan orang ramai untuk meraikan hari raya Aidilfitri di kampung halaman sendiri mungkin terubat jika Kementerian Kesihatan (KKM) berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menurut laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tidak mustahil kemeriahan balik kampung untuk menyambut hari raya akan dirasai tahun ini jika perkara itu boleh dilakukan.

“KKM telah mengkaji semua data dan fakta sebelum menasihat atau mencadangkan kepada Jawatankuasa Teknikal untuk diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk berhubung kebenaran rentas negeri.

“KKM membuat penilaian risiko ini dari semasa ke semasa. Situasi semasa menunjukkan kes baharu dalam trend penurunan walaupun tidak konsisten, namun masih terlalu awal.

“Memandangkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan baru saja berjalan, aktiviti kesihatan awam adalah paling berkesan untuk melandaikan keluk jangkitan.

“Jika kepatuhan yang tinggi kepada SOP yang ditunjukkan oleh kita semua ketika ini berterusan, tidak mustahil kemeriahan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri akan dirasai tahun ini.”

Mengenai penilaian risiko, KKM telah menggariskan enam indikator yang untuk membolehkan kementerian itu menasihati atau mencadangkan sesuatu perkara kepada Jawatankuasa Teknikal.

Enam faktor yang menjadi indikator KKM ialah situasi kes harian termasuk kes yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang; trend dan kadar kebolehjangkitan; kadar dan jumlah kes kematian; keupayaan katil dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital; situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti; serta ujian saringan yang dijalankan di lapangan, persampelan prapembedahan serta kemasukan ke wad.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekiranya trend penurunan kes harian COVID-19 berterusan, kemungkinan rentas negeri boleh dibenarkan untuk rakyat pulang beraya di kampung, tahun ini.

Sementara itu, menurut Aniq Arieff Abd Rahim, 26, pengumuman kebenaran merentas negeri untuk sambutan hari raya Aidilfitri amat dinantikan selepas tidak dapat berbuat demikian pada 2020.

“Saya amat berharap kerajaan memberikan kebenaran merentas negeri untuk sambutan Aidilfitri. Ramai orang terpaksa menahan rindu dan stress kerana tidak dapat pulang ke kampung pada raya tahun lepas.

“Ianya dah jadi rutin tahunan untuk balik ke kampung setiap kali hari raya Aidilfitri. Sebagai orang kampung, saya berasa amat kecewa apabila tidak dapat pulang ke kampung,” katanya kepada Wacana.my.

Sementara itu, menurut Fakhrul Amri Harun, 26, rakyat Malaysia dinasihati untuk redha dan akur dengan keputusan kerajaan jika tidak dibenarkan pulang sempena hari raya Aidilfitri.

“Saya faham jika tidak dapat merentas negeri kerana saya tahu kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan risiko serta cuba mengelakkan sebarang kejadian kluster baharu.

“Kita sebagai rakyat Malaysia harus mematuhi SOP secara berterusan sehingga pandemik COVID-19 berjaya ditewaskan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

21  +    =  27