Bola sepak wanita perlu publisiti dan promosi

 Bola sepak wanita perlu publisiti dan promosi

Pemerkasaan pembangunan bola sepak wanita memerlukan sokongan jitu pelbagai pihak. (Foto dari FB FAM)

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Pemerkasaan pembangunan bola sepak wanita memerlukan sokongan jitu pelbagai pihak terutama dari aspek publisiti dalam menangkis persepsi negatif terhadap penglibatan wanita dalam sukan itu.

Pandangan itu dilontarkan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baharu Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah yang menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57, semalam.

Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah

Pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata tanggungjawab menyerlahkan potensi kerjaya dalam bola sepak harus dipikul bersama supaya dapat menyangkal tanggapan negatif dan keraguan bahawa bola sepak wanita tidak mampu menjamin masa depan.

“Bagi kebanyakan orang, tidak ke mana bola sepak wanita dan inilah harus kita ubah. Nak ubah persepsi sebegini bukan hanya kami di FAM, tetapi semua pihak perlu menggalas tanggungjawab masing-masing mengubah persepsi tersebut.

“Kami sebenarnya memerlukan publisiti, kami memerlukan promosi, kerana kalau orang di luar sana tidak kenal bola sepak wanita, kami kurang mendapat tumpuan. Kita memerlukan bantuan dari semua pihak supaya bola sepak wanita dapat semangat dan suntikan baharu serta pengenalan lebih hebat,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya tumpuan lebih mendalam dan persediaan jangka panjang buat pasukan kebangsaan amat penting supaya arena bola sepak wanita negara tidak ketinggalan dan mampu bergerak seiring dengan pasukan negara lain.

Beliau berpendapat usaha memajukan bola sepak wanita perlu sentiasa bergerak ke hadapan dan persediaan buat pasukan kebangsaan tidak hanya ketika menghadapi kejohanan, sebaliknya setiap masa sekali gus menjadikan bola sepak sebagai kerjaya.

“Tetapi ada kalanya kita ada masalah, kita akan ada rintangan untuk membawa bola sepak wanita ke arah lebih jauh. Dengan semangat, strategi dan taktik kita akan cuba mempertingkatkan lagi usaha supaya orang di luar sana tahu kemampuan kita dalam arena bola sepak wanita,” katanya.

Mula bergiat secara aktif dalam arena bola sepak wanita pada 2018, Siti Faidul Maisarah yang diberi kepercayaan sebagai pengurus skuad wanita Melaka United FC berjaya membawa pasukannya menjuarai Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah 2019.

Beliau antara lapan muka baharu yang berjaya menempatkan diri dalam barisan kepimpinan FAM bagi penggal 2021-2025 dengan beliau menyasarkan untuk menyumbang seberapa banyak idea dan maklumat untuk membantu melaksanakan misi dan visi FAM.

“Muka baharu seiring dengan idea dan maklumat baharu boleh membantu menaikkan lagi mutu bola sepak negara dan membantu persatuan untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Selain beliau, satu lagi kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita FAM diisi Datuk Suraya Yaacob yang berjaya mempertahankan jawatannya.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  7  =  13