BKGK terap imej positif ‘Mat Kereta’

 BKGK terap imej positif ‘Mat Kereta’

Oleh Ama Alias

KOTA BHARU, 12 Feb: Perhimpunan pemandu kereta dan disusuli sesi deruman menguji enjin yang bingit mungkin persepsi yang tidak lagi tepat terhadap kumpulan peminat permotoran termasuk ‘Mat Kereta’.

Persepsi dan imej  lama itu telah dipadamkan oleh sekumpulan ‘Mat Kereta’ yang menggelarkan diri mereka ‘Budak Kereta Geng Kita’ (BKGK) apabila mereka aktif dalam pelbagai program amal dan menganjurkan pertandingan kereta yang patuh undang-undang.

Laman FB kumpulan Budak Kereta Geng Kita kini mempunyai 10,661 pengikut.

Pengurus BKGK, Nik Ahmad Tajul Ariff Mohd Rafi berkata, kumpulan itu ditubuhkan pada 2015 dan sudah menganjurkan lebih 50 acara permotoran berskala besar dan ratusan kerja amal di seluruh negara.

Beliau berkata, setiap acara disertai tidak kurang 5,000 ‘Mat Kereta’ termasuk menganjurkan pertandingan membabitkan kereta tempatan seperti model Perodua dan Proton.

BKGK sudah menjelajah jauh dalam usaha mengangkat martabat dan menukar imej lama ‘Mat Kereta’ dengan penganjuran pelbagai acara di seluruh negara seperti di Perak, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Terenganu dan Kelantan.

Katanya, dalam setiap program, tidak kurang 20 hingga 30 acara dianjurkan yang sesuai disertai peminat kereta dan orang ramai.

Pengurus BKGK, Nik Ahmad menyerahkan piala kepada pemenang pertandingan sukan permotoran yang dianjurkan

Nik Ahmad berkata, peminat kereta boleh menyertai pertandingan mempertaruhkan kreativiti hiasan aksesori, sistem audio, ubah suai, enjin dan rim aloi yang biasanya memberi kepuasan kepada peminat kereta yang mendapat piala kemenangan dan sijil pengiktirafan.

“Kita pilih acara permotoran jentera tempatan kerana kereta tempatan juga standing dengan jenama luar negara dan mampu bersaing dalam pertandingan. Kereta tempatan mempunyai ciri istimewa dari segi reka bentuk jentera manakala perisian dari segi untuk ubah suai audio, lampu dan enjin juga hebat,” katanya.

Nik Ahmad berkata, kereta yang kerap menyertai pertandingan membabitkan jenama Perodua Viva, Myvi, Kancil, Bezza, Kenari dan Kelisa manakala bagi Proton menampilkan model Waja, Iswara, Saga, Gen2, Satria dan Persona hingga model kenderaan pelbagai guna (MPV) seperti model Exora serta Alza.

Katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan kelab-kelab kereta yang lain seperti Geng Kelab Kereta Utara (GKKU) dalam usaha menganjurkan program untuk ahli mahupun kegiatan amal.

Beliau berkata, penganjuran aktiviti permotoran bukan sahaja mampu mengeratkan perpaduan pelbagai kaum dan generasi muda malah turut mengembangkan peluang ekonomi kepada pemain industri seperti bengkel kereta, pemilik kedai tayar, aksesori kereta, barangan alat ganti, produk enjin dan motor.

“Ini sudah pasti memberi peluang kepada peniaga kecil secara tidak langsung untuk mempromosikan jualan mereka sepanjang program permotoran diadakan yang biasanya berlangsung satu hingga tiga hari,” katanya.

Nik Ahmad berkata, perkumpulan peminat kereta turut memberi ruang pesertanya menjana ekonomi sekali gus menangkis tanggapan ‘bermain’ kereta adalah aktiviti sia-sia tetapi sebaliknya memberikn pulangan lumayan menerusi hadiah kemenangan dan perniagaan yang melibatkan hobi itu.

Program amal BKGK pula melibatkan aktiviti seperti gotong-royong, membantu golongan miskin tegar, membuat kutipan amal untuk ahli yang kesusahan dan menyalurkan bantuan tahunan seperti program Back to School, sambutan ambang merdeka serta perayaan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  60  =  65