Bisnes jenggo Sungai Selangor

 Bisnes jenggo Sungai Selangor

Oleh Fadzly Rani

SUNGAI Selangor masih terpelihara dengan baik serta kaya dengan pelbagai hidupan flora dan fauna. Satu tarikan utama di sini ialah kunang-kunang yang menghiasi pokok berembang sepanjang sungai dan ia menarik dilihat pada waktu malam. Pengunjung berpeluang menikmati pengalaman menaiki bot dari jeti Kuala Selangor atau Kampung Kuantan untuk menyaksikan kerdipan serangga itu dengan kadar bayaran berpatutan. Berdekatan sungai sebelum muka kuala, terdapat sebuah rumah api di puncak Bukit Melawati yang dibina pada 1907. Ia antara tempat menarik yang wajib dilawati apabila berkunjung ke Kuala Selangor kerana usianya sudah mencecah hampir 108 tahun. 

Sungai Selangor juga lokasi utama bagi penggemar udang galah yang dikenali sebagai jenggo bagi yang bersaiz mega. Jika kena gaya dan waktunya, seorang pemancing mampu membawa pulang tangkapan hingga 3 kilogram. Terdapat beberapa pengusaha perkhidmatan bot sewa untuk kegunaan pemancing dengan kadar sewaan RM100 untuk 12 jam. Perkhidmatan ini boleh didapati di jeti Kampung Sungai Yu, Pasir Penambang, Kampung Sepakat, Kampung Kuantan dan Kampung Asahan. Antara pengusahanya ialah Cikgu Ayob Haji Abd Hadi di jeti Kampung Sepakat. 

Guru pencen itu memulakan menyewakan bot sejak 2007 dengan lima bot dilengkapi enjin 3.3 HP. Kini bot sewanya 29 buah dengan pelbagai saiz serta enjin pelbagai kuasa kuda. Beliau juga dikenali ramai kaki pancing seluruh Malaysia.

Masa terbaik memancing udang galah di Sungai Selangor ialah ketika mati. Mengikut kalender Islam, masa itu ialah pada 7, 8, 9 dan 23, 24, 25 hari bulan. Ketika itu arus air pasang surut dijangka tidak terlalu deras. Tempohnya pula lebih lama jika dibandingkan ketika air besar. 

Pemancing udang, perlu mahir selok-belok sesuatu lokasi supaya lubuk undang tidak tersasar. Antara buruan utama pemancing ialah si jenggo yang mencecah 200 hingga 450 gram seekor. Udang galah lebih aktif pada waktu malam. Ketika itu ia mudah ditemui di perairan tebing sungai dan lubuk yang dalam. Selain itu, faktor air suam (tidak terlalu sejuk) antara punca utama udang galah galak membaham umpan, Jika air sejuk bermakna hujan di hulu sungai dan menyebabkan banyak makanan dihanyutkan ke sungai.  

Penulis dengan hasil tangkapan

Memancing udang galah perlu persediaan rapi dan teliti, terutama dari segi alatan yang digunakan supaya peratus tangkapan lebih tinggi. Biasanya, joran yang digunakan ialah jenis fiberglass yang lembut yang panjangnya 4 hingga 5 kaki dengan kekili bersaiz kecil. Tali utama jenis tangsi  hanya 8 hingga 10 paun adalah yang paling sesuai jika mahu memancing udang galah. Gunakan perambut halus dengan dua mata kail dengan panjang sekurang-kurangnya satu setengah jengkal. Mata kail bentuk sabit saiz nombor  2 atau 3 adalah senjata terbaik memburu jenggo Sungai Selangor. Umpan terbaik pula ialah anak udang, perumpun, cacing dan hati ayam.

Jika air sungai deras, gunakan batu nombor 6. Jika memancing ketika air mula bergerak perlahan, gunakan batu nombor 4 atau 5 bergantung kepada kedalaman lubuk.

Memancing udang tidak sama seperti memancing ikan. Namun apa yang ingin digambarkan ialah saat kita memperoleh tangkapan. Begitu juga, memancing udang galah banyak pantang larangnya. Persediaan dari segi kelengkapan juga penting dan teknik perlu betul supaya tidak balik dengan tangan kosong.

Pada masa sama, pemancing disaran mengamalkan konsep tangkap lepas bagi induk udang galah yang membawa telor. 

Sementara itu, Persatuan Memancing SeMalaysia akan melancarkan program amalan pancing lima ekor dan lepaskan semula dua ekor bagi induk udang yang bertelor ke habitat asal. Sekurang-kurangnya dengan amalan kecil ini dapat menyumbang kepada kelansungan hidupan udang galah di Sungai Selangor.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  8  =  1