Bincang segera akta anti lompat parti, wakil rakyat bukan pelacur politik

 Bincang segera akta anti lompat parti, wakil rakyat bukan pelacur politik

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Salahuddin Ayub

ISKANDAR PUTERI, 6 Sept — Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu senada dalam membincangkan tentang akta anti lompat parti dengan segera.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk menjadi pembuat dasar dan bukan menjadi pelacur politik mana-mana pihak.

Katanya, hal itu agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lagi menjadi gelanggang menjual kerusi, maruah dan harga diri.

“Kita dipilih rakyat untuk membuat dasar penting untuk negara dan kita bukan pelacur politik. Sekarang tidak ada lagi permainan angka, yang penting kita syorkan supaya semua pihak bersetuju untuk kemukakan rang undang-undang lompat parti.

“Itu yang saya tekankan supaya kestabilan (politik) dapat kita capai dalam tempoh terdekat ini dalam kita mendepani negara dan rakyat yang masih belum selesai memerangi pandemik COVID-19,” katanya dalam perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, hari ini.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram turut menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya wakil rakyat tidak menjadikan DUN sebagai sangkar beruk ketika persidangan.

“Sebagai wakil rakyat, kita perlu membantu dan mendekatkan diri dengan rakyat dalam usaha membendung pandemik ini serta berusaha untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *