Bina segera 6 kios bantu rakyat terkesan

 Bina segera 6 kios bantu rakyat terkesan


PETALING JAYA : “Ramai yang terkesan akibat pandemik bagi mengekang penularan COVID-19, oleh itu kerajaan perlu meneruskan sahaja projek pembangunan kios itu agar ekonomi dapat digerakkan dan membantu golongan muda berniaga”.

Demikian tegas pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Kuala Lumpur Sub Zon 4, Parlimen Segambut, Abdullah Imbi yang menggesa rancangan pembangunan enam buah kios Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) diteruskan.

Jelasnya, pembangunan itu bagi membuka peluang kepada anak muda menjalankan perniagaan di kawasan tumpuan orang ramai. Malah, projek pembangunan kios itu boleh mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan.

Abdullah berkata, selain mampu membantu golongan sasar keluar dari masalah kemiskinan disebabkan peluang pekerjaan yang terhad.

“Kalau kita lihat keadaan hari ini, ramai yang terkesan dan jumlah penjaja di kawasan bandar semakin meningkat, jadi apa salahnya kita membuka ruang dan peluang kepada anak-anak muda untuk meniaga.

“Masalah kesesakan lalu lintas bukanlah isu utama di situ dan sekiranya kita perhatikan, kesesakan ini berlanjutan dari tengah hari sehingga tengah malam kerana ia merupakan kawasan komersial yang menjadi tumpuan,” katanya.

Jelas Abdullah, bantahan yang dikemukakan daripada persatuan penduduk dan peniaga kedai yang mendakwa kios berkenaan akan menyebakan kesesakan lebih teruk adalah tidak berasas memandangkan kawasan itu sememangnya merupakan tumpuan orang ramai.

Oleh itu, tegasnya, semua pihak tidak harus menjadikan masalah sedia ada sebagai penyebab untuk menghalang projek tersebut dilaksanakan sekali gus menafikan anak muda untuk berniaga.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  3