Bina masjid: Saya tidak ambil sebarang keuntungan – Syatilla Melvin

 Bina masjid: Saya tidak ambil sebarang keuntungan – Syatilla Melvin

Oleh Farhana Ab Rahman

PETALING JAYA : Pelakon Syatilla Melvin, 30, berhasrat menyerahkan sepenuhnya bahagian keuntungan hasil jualan daripada kolaborasi perniagaan Nasi Daging Telentang LB Creuset bagi melunaskan sebuah masjid yang terbengkalai.

Syatilla berkata, dia maklum mengenai kewujudan madrasah itu daripada ahli keluarganya yang menuntut di sana. Masjid terbabit memerlukan dana sebanyak 200,000 bagi melangsaikan bahagian yang tertangguh.

“Saya menggunakan platform sebagai selebriti bagi menyebarkan kebaikan, sementara masih berada dalam industri kenapa tidak gunakan kesempatan ini sebaik mungkin.

“Jadi saya menyimpan impian untuk memastikan masjid yang terbengkalai ini seiap sepenuhnya dalam tahun ini juga. Saya dimaklumkan keadaan masjid yang baru siap suku itu terlalu sederhana untuk menampung penuntut dan anak-anak tahfiz.

“Mereka sudah cuba mengiklankan masalah ini bagi mendapatkan dana, cuma dana itu belum mencukupi lagi. InsyaAllah….Saya berhasrat untuk tidak mengambil sebarang keuntungan dan ingin memastikan madrasah itu siap sepenuhnya,” katanya kepada Wacana.my

Syatilla Melvin

Syatilla ditemui di majlis pelancaran LB Creuset X Syatillah Melvin Nasi Daging Telentang, di Eastin Hotel, Petaling Jaya pada Rabu.

Selain Syatilla, kerjasama itu turut melibatkan dua anak muda Yang Mulia Syed Haniff dan Leon Puung yang merupakan tunggak LB Creuset. Perniagaan makanan itu mula beroperasi pada bulan April tahun lalu.

Menurut Haniff, dia berbesar dengan kesudian Syatilla untuk menjalankan kerjasama dengan perniagaan yang masih hijau seperti mereka. Tambah Haniff, pelakon Sha & Shah itu juga merupakan kenalan rapat keluarganya.

“Saya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang masakan namun gemar bereksperimentasi sejak Tempoh Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu. Alhamdulillah…Sambutan yang diberikan amat memberangsangkan dengan perkongsian Syatilla.

“Malah, perkataan ‘terlentang’ itu juga dicadangkan sendiri oleh Syatilla bagi menggambarkan kelazatan nasi daging ini. Lebih istimewa, saya sendiri yang memasak seawal jam 5 pagi bagi memastikan kualiti dan resipi ini dikekalkan,” kata Haniff.

Memulakan operasi pada Ramadan ini, pelanggan boleh mendapatkan Nasi Daging Terlentang dengan harga istimewa Combo Pack Family Terlentang untuk empat orang (RM88) dan Individu Terlentang (RM22).

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  8  =  2