Bina jantung Semenanjung di Paya Siput

 Bina jantung Semenanjung di Paya Siput

Ikonik Temerloh Titik Tengah Semenanjung yang condong ke arah Kiblat

Oleh Mohd Kamal Ahmad

TEMERLOH, 1 Mac: Di mana jantung Semenanjung? Mungkin masih ada yang tidak tahu di mana lokasi itu. Titik tengah Semenanjung ini terletak di Kampung Paya Siput dekat Lanchang di sini dan ditanda dengan satu struktur simbolik yang Islamik. Anda boleh memasukkan lokasi ini dalam senarai kunjungan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat kelak!

Dato’ Seri Mohd Sharkar Shamsudin

Titik tengah ini disahkan Jabatan Pemetaan Malaysia (Jupem) dan dikenal pasti berada di atas Lot 2082 pada 2009. Sebelum itu, Jupem membina sebuah monumen di Lot 1869 Kampung Paya Siput sebagai titik kawalan kordinat ukur untuk seluruh Semenanjung pada 2013. Ketika pemerintahan British di Malaya pula, Kampung Belimbing di Lipis ditetapkan sebagai titik tengah Tanah Melayu ketika itu dengan ditanda ‘0’ di lokasi berkenaan.

Struktur itu dianjakkan 8 meter dari Monumen Jupem bagi memastikan cerapan ukur dapat diambil tanpa ada sebarang halangan. Ikonik ini disifatkan membawa mesej yang sangat signifikan dan relevan apabila binaannya terdiri daripada pancang sebagai simbol lima Rukun Islam dan Rukun Iman. Struktur itu juga condong ke arah kiblat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang, Dato’ Seri Mohd Sharkar Shamsudin memberitahu Wacana.my, lima pancang berwarna kelabu gelap pada struktur itu melambangkan lima Rukun Islam manakala enam pancang berwarna emas melambangkan Rukum Iman.

Pada tapak ikonik itu juga menunjukkan arah dan jarak ibu negeri-negeri di Malaysia dari titik tengah Semenanjung itu.

“Struktur itu dinamakan Ikonik Temerloh Titik Tengah Semenanjung bagi meraikan Temerloh sebagai Bandar Titik Tengah Semenanjung. Ia dibina dengan tujuan memberi pendedahan kepada umum mengenai keunikan tempat ini yang terletak di tengah-tengah Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata tapak ikonik itu dibina di kawasan seluas 4.25 ekar yang turut ada plaza komersial, tasik mini dan taman monumen awam sekali gus menjadi produk tarikan pengunjung dan pelancong ke Temerloh.

Keseluruhan pembangunan ini dibina oleh Majlis Perbandaran Temerloh melalui peruntukan RM8 juta dari Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada 2017 dan siap sepenuhnya tahun lalu.

Sharkar berkata, Temerloh juga mempunyai pelbagai produk tarikan pelancong lain seperti restoran-restoran ikan patin tempoyak, Air Terjun Bukit Rengit, Kampung Orang Asli Che Wong serta Rizab Hidupan Liar Krau.

Produk lain sedia ada ialah Santuari Gajah Bukit Rengit, Deerland dan Kampungstay Desar Murni.

“Pembangunan Ikonik Titik Tengah berkait rapat dengan produk-produk lain di Temerloh. Oleh itu, pembangunan di sini akan dirancang untuk komplimen sekaligus meningkatkan daya tarik pakej ke Temerloh,” katanya.

Menurut beliau, siri promosi telah dilakukan sejak pembangunan itu disiapkan. Ini termasuk menganjurkan siri lawatan agensi pelancongan, media, blogger dan influencer ke lokasi selain promosi menerusi pelbagai risalah mahupun media sosial.

“Promosi turut meliputi penganjuran acara dan aktiviti di lokasi,” katanya sambil menyakinkan tempat meletak kereta, bas pelancong serta pelbagai kemudahan disediakan untuk menerima kedatangan pengunjung serta pelancong.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  78  =  85