• Sunday, 20 June 2021, 11:36 am

Bimbang vaksin kurang, Asia bikin vaksin sendiri

 Bimbang vaksin kurang, Asia bikin vaksin sendiri

KUALA LUMPUR, 6 Jun. – Disebabkan ancaman kekurangan bekalan vaksin COVID-19, ekonomi Asia Pasifik kini berlumba-lumba untuk membuat vaksin secara tempatan bagi mengelak terlampau bergantung kepada syarikat luar.

Memetik dari laporan South China Morning Post, Jepun, Korea Selatan, India, Taiwan, Thailand, Indonesia dan Vietnam kini sedang membangunkan vaksin sendiri setelah bergelut untuk mendapatkan bekalan yang cukup dari luar negara. Walaupun vaksin yang dibuat secara tempatan itu tidak mungkin tiba tepat pada masanya, ianya dianggap sebagai pelaburan jangka panjang selain menjimat kos.

Menurut Jerome Kim, Ketua Pengarah Institut Vaksin Antarabangsa (IVI) di Seoul, gelombang pertama vaksin boleh menjadi “kurang berguna” kerana komplikasi seperti mutasi virus, masalah keselamatan, kos dan cabaran logistik.

“Kemunculan varian baru yang tahan dengan vaksin mendorong permintaan vaksin baharu untuk tahun-tahun kedepan. Dengan permintaan yang tinggi, negara yang mempunyai vaksin tersendiri mampu memanfaatkan peluang tersebut seperti membuat diplomasi vaksin antara negara.

“Sekiranya kita membuat anggapan COVID-19 akan berada sehingga 2022 atau selanjutnya, ianya akan menjadi sebuah industri baru untuk pembuat-pembuat vaksin,” katanya.

Di Jepun, sekurang-kurangnya empat firma farmaseutikal, termasuk Daiichi Sankyo yang berpusat di Tokyo dan Shionogi Pharmaceutical yang berpusat di Osaka, telah melakukan percubaan fasa 1 atau fasa 2 untuk dalam pembuatan vaksin baharu.

Manakala di Korea Selatan, sekurang-kurangnya lima syarikat tempatan telah berusaha untuk mengembangkan vaksin mereka sendiri, dengan Genexine dan SK Bioscience telah memasuki percubaan fasa 2.

Pembuatan vaksin di peringkat tempatan mampu mengurangkan kos yang dibelanjakan kerajaan berbanding terlampau bergantung kepada pembekal luar. Selain itu, ianya juga mampu melindungi sistem kesihatan dan ekonomi selain memperluaskan diplomasi antara negara melalui diplomasi vaksin.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *