BIMB Holdings selesaikan langkah penstrukturan semula pada Ogos

 BIMB Holdings selesaikan langkah penstrukturan semula pada Ogos

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR, 22 April — Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) dijangka disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada Ogos ini sebagai sebahagian penyelesaian langkah penstrukturan semula syarikat induknya BIMB Holdings Bhd (BHB).

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata BHB telah memohon kelulusan penstrukturan semula pada Disember 2019 namun berikutan krisis pandemik COVID-19, kelulusan itu hanya diterima daripada Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan pada Disember 2020.

“Selepas disenaraikan, Bank Islam akan meneruskan usaha untuk menjadi peneraju penyelesaian kewangan menyeluruh dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syariah dengan kepimpinan dalam perbankan digital serta kewangan sosial.

“Kami turut menyasar untuk meningkatkan saiz aset kami kepada lebih RM100 juta dalam tempoh lima tahun daripada RM75 juta pada masa ini menerusi pertumbuhan organik dan peluasan ke dalam ruang perbankan digital,” katanya semasa taklimat media mengenai hala tuju masa depan bank itu di sini, semalam.

Beliau berkata selepas penstrukturan semula itu selesai, Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (STMKB) akan mengekalkan status penyenaraian berasingan manakala BHB akan menjadi anak syarikat dorman kepada Bank Islam.

Bagi menjadikan BHB sebagai syarikat dorman, tawaran persendirian akan dilaksanakan bulan ini selepas menerbitkan lebih 222 juta saham baharu pada harga terbitan RM3.58 sesahan, yang memperoleh sambutan memberangsangkan dengan mengalami situasi terlebih langgan sebanyak 1.7 kali, katanya.

Mohd Muazzam berkata pihaknya berjaya mengumpulkan hasil kasar berjumlah kira-kira RM795.5 juta menerusi tawaran tersebut yang akan digunakan terutama untuk menebus sukuk BHB bernilai RM920 juta hingga RM960 juta pada Mei atau Jun.

Beliau berkata baki bagi penebusan sukuk itu dan liabiliti lain dalam BHB akan dilunaskan menerusi dana dalaman.

Pihaknya juga diminta untuk menebus saham waran BHB berjumlah lebih 427 juta bernilai RM162 juta yang akan dibayar pada suku kedua tahun ini bergantung pada sekatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bank Islam juga akan mengambil alih anak-anak syarikat sedia ada BHB iaitu BIMB Securities Holdings Bhd, BIMB Securities Sdn Bhd dan Syarikat Al-Ijarah Sdn Bhd, katanya.

Beliau berkata apabila penyenaraian itu direalisasikan, saham BHB akan ditukarkan pada nisbah 1:1 kepada saham Bank Islam dan bagi pemegang saham yang memiliki lebih banyak unit, setiap empat saham layak memperoleh satu lagi saham STMKB.

Dalam melangkah maju, Mohd Muazzam berkata susulan itu, Bank Islam boleh menawarkan saranan perniagaan yang menarik untuk perbankan mampan di samping melaksanakan pendekatan baharu dalam menjalankan perniagaan.

“Kami berharap mampu meraih peluang pertumbuhan bagi bank Islam dalam bidang baharu dengan menumpukan perniagaan pembiayaan kepada syarikat-syarikat yang memiliki piawaian ESG yang tinggi.

“Kami ingin menumpukan pembiayaan segmen ESG dan menjadi pakar dalam bidang ini. Kami mempunyai kelayakan yang mencukupi namun kami tidak menggunakan pendekatan melibatkan penyertaan yang meluas,” katanya.

Beliau berkata Bank Islam juga akan terus menekankan pengurangan nisbah kos-kepada-pendapatan daripada 53 peratus kepada di bawah 50 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi automasi, pengoptimuman, pengurusan kos dan peningkatan pendapatan.

“Kami menjangkakan dapat mengekang struktur kos semasa dan meningkatkan perolehan untuk merealisasikan sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Mohd Muazzam berkata walaupun 75 peratus perniagaan semasa bank itu adalah runcit namun pihaknya berhasrat mengembangkan portfolio perbankan korporat dan menggandakan pendapatan berasaskan bukan dana.

Mengenai aspirasi bank digital, beliau berkata Bank Islam tidak memohon lesen perbankan digital memandangkan tujuan tersebut boleh dipenuhi menerusi lesen perbankan Islam sedia adanya.

“Bank Islam telah mewujudkan bahagian khusus untuk merangka dan membangunkan cadangan hanya digital kami. Pusat Pengalaman Digital (CDX) ditubuhkan setahun lepas, dan Bank Islam merancang untuk melancarkan cadangan hanya digital tahun ini,” katanya.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

12  +    =  21