Bilik simpan peluru Perhilitan Kuala Tahan terbakar

 Bilik simpan peluru Perhilitan Kuala Tahan terbakar

Oleh AMIR HAMZAH NORDIN

JERANTUT, 29 Januari 2022 – Penduduk dan pengunjung di Taman Negara Kuala Tahan gempar apabila satu kebakaran membabitkan bilik simpan peluru di pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kuala Tahan dekat sini.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, pihaknya menerima maklumat kebakaran berlaku di sebuah bilik penyimpanan simpanan peluru pejabat Perhilitan Kuala Tahan terbakar pada jam 10.21 malam semalam.

Katanya, seramai tujuh belas pegawai dan anggota JBPM Pahang dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jerantut, BBP Temerloh dan BBP Bukit Angin telah dikejarkan ke lokasi berkenaan yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Bandar Jerantut.

“Pihak JBPM menerima panggilan kecemaran MERS 999 dan BBP Jerantut dalam perjalanan sejurus menerima panggilan kecemasan dan terpaksa menyeberangi Sungai Tembeling untuk melakukan operasi pemadaman.

“Pejabat Perhilitan yang terbakar ini terletak berdekatan dengan Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) yang sering dikunjungi pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

Ketua Polis Jerantut, Suprintenden Mazlan Hassan berkata, kejadian bermula pada jam 9.30 malam semalam menyebabkan api marak dengan cepat kerana kedua bangunan tersebut dibina daripada kayu.

“Kebakaran telah berjaya dikawal oleh anggota bomba dan penyelamat pada pukul 4.55 pagi dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pemangku Pengurus MTNR, Kingston Khoo berkata, kebakaran Pejabat Perhilitan di situ berlaku berdekatan dengan resort pada kira-kira jam 10 malam semalam.

Katanya, anggota bomba sukarela turut mengawal api agar merebak ke kawasan resort supaya tidak berlaku sebarang kerosakan dan penginapan MTNR tidak terjejas kerana bangunan ini terletak berasingan. Semua tetamu dan kakitangan di resort ini selamat dan tiada sebarang kecederaan.

“Pada jam 7.10 pagi hari ini, pihak Bomba dan Penyelamat Jerantut telah mengesahkan resort ini sebagai selamat dan semua operasi serta aktiviti hospitaliti berjalan seperti biasa dan semua sistem dan perkhidmatan di resort boleh beroperasi seperti biasa sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin yang melawat ke tempat kejadian hari ini berasa syukur kerana semua kakitangan Perhilitan dan pengunjung yang menginap di situ selamat.

“Ini atas kerjasama dan kecekapan kakitangan Perhilitan dan MTNR melaksanakan kerja menyelamat dengan memindahkan pengunjung resort ke seberang sungai. Diharapkan keadaan akan pulih segera dan tidak menjejaskan aktiviti menyambut kehadiran pengunjung sepanjang cuti hujung minggu ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, S. Sivakrishnan, 45, berkata, dia sangat berterima kasih dan memuji kecekapan kakitangan resort menyelamatkan mereka yang menginap di situ.

“Saya terdengar bunyi letupan kuat dari bangunan berhampiran resort dan tidak lama kemudian kakitangan resort datang mengarahkan kami keluar dari bilik masing- masing dan berkumpul di sebuah kawasan lapang dan dipindahkan ke seberang sungai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku dan pulang semula ke bilik penginapan setelah keadaan pulih,” katanya

Amir Hamzah Nordin

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

62  −  56  =