Bilangan jenazah pesakit COVID-19 di KL semakin berkurang

 Bilangan jenazah pesakit COVID-19 di KL semakin berkurang

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Bilangan  jenazah pesakit COVID-19 di beberapa hospital di Kuala Lumpur menunjukkan trend penurunan .

Perkembangan positif itu dikongsikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi kemas kini terbaharu di Facebooknya hari ini.

“Alhamdulillah, suasana di Jabatan Forensik di hospital-hospital utama di Kuala Lumpur semakin bertambah baik dengan berkurangnya jumlah jenazah Covid-19.

“Walaupun begitu, bukan bermakna kita sudah boleh kembali seperti sediakala,” katanya dalam kemas kini di Facebook.

Menurut perkongsian tersebut, pihak JAWI meluahkan kelegaan dengan situasi terkini namun pihaknya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan seterusnya.

“Begitu juga dengan kami barisan Petugas Khas Pengurus Jenazah Covid-19, suasana yang tidak kelam kabut ini sedikit melegakan hati kami.

“Tetapi kami masih sentiasa dalam mod siap sedia dengan sebarang keadaan yang bakal berlaku.

“Apa pun yang terjadi, terima kasih semua kerana anda membantu petugas barisan hadapan dalam mendepani tugas-tugas mencabar ini. Doa anda kami pohon agar kami terus kuat,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan kemasukan ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan Covid-19 di Lembah Klang semakin berkurangan susulan program vaksinasi mencapai tahap 60 peratus.

Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok lebih awal berbanding sasaran asal iaitu pada Oktober nanti seperti mana ramalan pakar-pakar kesihatan.

Indikator itu dapat dilihat berdasarkan jumlah pesakit COVID-19 bagi kategori empat dan lima di kebanyakan hospital awam menurun sehingga 50 peratus baru-baru ini.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

85  −  76  =