Biden sahkan tarikh akhir penerbangan, rakyat terdesak

 Biden sahkan tarikh akhir penerbangan, rakyat terdesak

Tentera Udara AS membantu warga Afghanistan yang berkelayakan masuk ke dalam pesawat. Foto- REUTERS

KABUL, 25 Ogos — Rakyat Afghanistan yang berusaha untuk keluar daripada negara itu kelihatan semakin terdesak selepas Presiden Joe Biden mengesahkan pemindahan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) akan berakhir minggu depan.

Setakat ini, lebih 70,000 orang sudah dibawa keluar tetapi orang ramai tetap berada di luar lapangan terbang Kabul dengan harapan untuk melarikan diri daripada ancaman pembalasan dan penindasan di Afghanistan yang diperintah Taliban.

Biden dalam satu ucapannya semalam berkata, AS akan mematuhi tarikh akhir 31 Ogos untuk menarik keluar tentera sepenuhnya walaupun terdapat amaran daripada sekutu Eropah bahawa tidak semua rakyat Afghanistan yang berisiko boleh keluar pada tarikh itu.

“Semakin cepat kita selesai, semakin baik. Setiap hari operasi menyebabkan risiko tambahan kepada pasukan kita.

“Kini kita berada di tahap yang tepat untuk menyelesaikannya pada 31 Ogos,” katanya.

Ramai warga Afghanistan bimbang episod lama berulang ketika pemerintahan lima tahun Taliban sebelum digulingkan pada tahun 2001, dan pembalasan kerana bekerja dengan tentera asing, misi Barat dan kerajaan yang disokong AS.

Washington dan sekutunya sudah membawa keluar ribuan warga Afghanistan setiap hari dengan pesawat tentera, tetapi ia menjadi tugas yang semakin sukar dan terdesak.

Lapangan terbang Kabul dilanda kekacauan ketika pasukan yang dipimpin AS berusaha mempertahankan perimeter bagi penerbangan keluar daripada serbuan oleh warga Afghanistan yang terdesak yang menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang maut dalam kekacauan itu.

Taliban juga didakwa menyekat atau memperlahankan akses kerana ramai yang berusaha untuk ke lapangan terbang. Bagaimanapun kumpulan itu menafikannya.

Biden berkata, Taliban mengambil langkah untuk membantu, tetapi terdapat risiko serangan oleh kumpulan pengganas.

Pengarah CIA, William Burns berlepas ke Kabul bagi pertemuan rahsia dengan pemimpin tertinggi Taliban, Abdul Ghani Baradar.

The New York Times bagaimanapun berkata, pertemuan itu bukan untuk merundingkan lanjutan tempoh pengunduran tetapi untuk perbincangan umum mengenai operasi keluar dan ancaman pengganas.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

99  −  94  =