• Thursday, 17 June 2021, 1:32 pm

#WAAW: Biarlah tak kahwin daripada menjadi bodoh – Soo Wincci

 #WAAW: Biarlah tak kahwin daripada menjadi bodoh – Soo Wincci

PETALING JAYA : Penyanyi, Dr Soo Wincci kurang bersetuju dengan kenyataan yang diberikan oleh pakar motivasi dan mata Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad susulan video Kenapa Wanita Lambat Dapat Jodoh yang tular di media sosial.

Jelas Wincci, 35, tindakan membodohkan diri semata-mata ingin berkahwin ibarat memijak diri sendiri. Baginya, kenyataan yang diberikan tidak berfikir panjang sebelum dikeluarkan.

“Minta maaf, saya tidak dapat menerima kenyataan yang diberikan oleh Prof. Bagaimana seorang wanita perlu bersikap bodoh hanya kerana ingin berkahwin?

“Bagi saya, ia sesuatu yang tidak betul kerana ibarat menipu dalam masa yang sama memijak diri sendiri hanya semata-mata ingin mendirikan rumah tangga?

“Biarlah tidak berkahwin daripada sanggup membuat bodoh kerana ingin berkahwin kerana takkan kita hendak buat bodoh seumur hidup? Minta maaf jika ada tersilap kata, tapi fikirlah secara dalam dan panjang,” luah Wincci.

Tambah Wincci, pendekatan untuk melakukan sesuatu yang bukan diri sendiri adalah sikap tosik secara senyap. Sekali gus, ia mendatangkan mudarat terhadap mental dan fizikal.

Untuk rekod, Wincci sedang melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah kedua dalam bidang produksi artistik di Valencia, Sepanyol.

Dalam satu video tular, pakar mata itu mengupas topik mengenai wanita yang lambat bertemu jodoh sehingga mengundang kemarahan ramai.

Difahamkan, Dr Muhaya sudah memadam video berkenaan di laman sosial miliknya.

Namun, video itu masih boleh ditonton selepas ia dimuat naik semula oleh netizen ke media sosial dan YouTube.

Farhana Abd Rahman

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *