Berus gigi untuk kanak-kanak istimewa

 Berus gigi untuk kanak-kanak istimewa

kanak-kanak autisme diajar cara membersih gigi menggunakan modifikasi berus gigi.

KUANTAN, 28 November 2021 – Ingin meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas ternyata menjadi pencetus idea seorang doktor gigi untuk menghasilkan modifikasi berus gigi.


Inovasi berkenaan membolehkan kanak-kanak berkeperluan khas dan autisme terutama yang mempunyai masalah koordinasi gerakan tangan, cengkaman memberus gigi dengan lebih efektif. Tambahan pada bahagian pemegang dilakukan supaya ia lebih mudah dipegang dan memberus gigi setiap hari.


Individu kreatif yang berjaya menghasilkan modifikasi berus gigi berkenaan ialah Dr Ahmad Faisal Ismail yang merupakan Timbalan Dekan (Akademik) dan Pakar Pergigian Kanak-Kanak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.


Dr Ahmad Faisal berkata, tercetus idea inovasi berkenaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu apabila memikirkan ramai kanak-kanak berkeperluan khas tidak mendapat akses untuk pemeriksaan pergigian disebabkan PKP.

Dr Ahmad Faisal Ismail bersama kanak-kanak autisme.


 Menurutnya, bermula dari situ dia berfikir dan berusaha menghasilkan berus gigi yang boleh digunakan golongan istimewa, penambahbaikan pada bahagian pemegang dilakukan.


“Saya menggunakan bola tenis, span dan pemegang (hendal) basikal yang dapat memudahkan kanak-kanak berkeperluan khas memegang berus gigi seterusnya tidak cedera ketika memberus gigi.


“Kecacatan fizikal ada kalanya menyebabkan kanak-kanak berkenaan tidak dapat memegang berus gigi dengan baik malah turut sukar untuk memberus gigi dengan sempurna.

Timbalan Dekan (Akademik) dan Pakar Pergigian Kanak-Kanak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, Dr Ahmad Faisal Ismail.


“Faktor berkenaan menyebabkan mereka tidak berminat untuk memberus gigi hingga ada yang terlalu takut untuk menggunakan berus gigi,” katanya yang telah enam tahun berkhidmat sebagai pakar pergigian dan pensyarah di UIAM kampus Kuantan.


Beliau menambah, kanak-kanak berkeperluan khas yang mempunyai masalah koordinasi gerakan tangan, cengkaman sukar untuk memegang berus gigi dengan sempurna hingga menyebabkan mereka tidak berminat memberus gigi. Dr Ahmad Faisal berkata, ibu bapa terpaksa memberi pemantauan yang lebih teliti, faktor berkenaan membebankan ibu bapa terutama yang berkerjaya hingga menyebabkan penjagaan gigi kanak-kanak berkeperluan khas terabai.


Katanya, penggunaan bola tenis, span dan  pemegang (hendal) basikal memberi peluang kepada  kanak-kanak berkeperluan khas memberus gigi sendiri dibawah pemantauan ibubapa. Ini sekaligus menggalakkan mereka memberus gigi dengan lebih efektif.


Menurutnya, berus gigi konvensional yang di pasaran direka dengan pemegang yang bersaiz kecil, rekaan ini menimbulkan kesulitan untuk kanak-kanak berkeperluan khas memberus gigi terutama mereka yang mempunyai masalah koordinasi tangan.

Dr Ahmad Faisal Ismail mengajar kanak-kanak autisme memberus gigi.


Katanya, selepas beberapa ujian dilakukan mendapati kanak-kanak berkeperluan khas begitu selesa menggunakan modifikasi berus gigi yang dihasilkan, sambil bermain mereka memberus gigi.

“Setiap bulan saya melakukan pemeriksaan gigi kanak-kanak berkeperluan khas dan mendapati gigi mereka semakin bersih dan bersih, ibu bapa juga menyatakan anak mereka semakin berminat untuk memberus gigi setiap pagi termasuk malam.

“Sebelum ini kanak-kanak istimewa takut dan tidak berminat untuk memberus gigi hingga menimbulkan masalah kepada ibu bapa termasuk pusat penjagaan yang menguruskan kanak-kanak terbabit.

“Saya menghasilkan modifikasi berus gigi bukan semata-mata untuk dipasarkan tetapi lebih kepada ingin membantu meringankan beban ibu bapa dan penjaga,” katanya.

Dr Ahmad Faisal berkata, ibu bapa dan pusat jagaan kanak-kanak berkeperluan khas boleh menghasilkan sendiri berus gigi berkenaan tanpa perlu mengeluarkan belanja besar, yang penting berus gigi berkenaan perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Dia yang juga Ketua Projek Penyelidik Dental Research and Engagement for Autism Malaysia (DREAM) berkata,
modifikasi berus gigi diharap membuka lembaran baharu untuk kanak-kanak istimewa yang memerlukan penjagaan gigi secara berterusan dalam memastikan tahap kesihatan mereka terus terjaga.

Dr Ahmad Faisal Ismail memeriksa gigi kanak-kanak autisme.

Beliau berkata, projek rintis antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Kuantan, Pahang itu diharap dapat membantu kanak-kanak berkeperluan khas dan autisme bukan di negeri termasuk seluruh negara.

“Rancangan saya pada masa hadapan ialah untuk menghasilkan lebih banyak produk kegunaan
kanak-kanak berkeperluan khas dan autisme untuk membersihkan gigi mereka dengan lebih efektif.


“Pengalaman yang saya ada akan digunakan sepenuhnya dalam membantu golongan memerlukan terutama kanak-kanak istimewa.” katanya

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

70  −    =  66