Bertandang ke ‘rumah makhluk halus’ dan dapat pari pasir

 Bertandang ke ‘rumah makhluk halus’ dan dapat pari pasir

Zaini berjaya memancing pari pasir kira-kira 4 kilogram.

Oleh Zulkarnain Omar

PEKAN, 14 Mac – Mana-mana kaki pancing udang galah pastinya pernah bertandang ke Sungai Pahang untuk memburu jenggo-jenggo sepit biru kerana aksi pertarungannya lebih ganas, saiznya lebih besar dan pasti rasa isinya lebih sedap.

Baru-baru ini, penulis bersama dua lagi kaki pancing – Mohd Zaini Samsudin dan Zaidi Mat Amin, bertandang dan memberi salam kepada penghuni Pulau Rumput. Lazimnya, kami menawarkan beberapa habuan untuk udang galah seperti anak udang beras, perumpun ruat dan cacing. Tetapi untuk si jenggo di situ, hirisan jantung boleh dipertaruhkan.

Zaini Samsudin dengan tangkapan udang galah yang memberangsangkan

Terdapat dua pulau di situ yang mana sememangnya didiami oleh si jenggo saiz bagak. Lubuk kediamannya ialah bahagian belakang dan tepian pulau yang berlekuk atau berkawah besar di dasarnya. Struktur lantai sungai yang sebegini lazimnya terdapat banyak makanan yang terkumpul untuk habuan si jenggo.

Setibanya di lokasi, hari sudah melewat petang. Setelah siap kelengkapan kami terus memecut bot ke pulau berdekatan yang tidak jauh dari jambatan Paloh Hinai berhampiran kawasan pam penyedut pasir.

Kira-kira 15 minit umpan dilabuhkan, baru ada ragutan. Bagi kaki pancing, udang galah Sungai Pahang amat berbeza kerana mangsa tidak semudah itu untuk meragut umpan. Kita harus bersabar sedikit. Di situ, hanya tiga ekor udang galah didaratkan.

Kami beralih ke kawasan lingkungan paip penyedut pasir. Ternyata tempat itulah spesies ini berkumpul. Satu demi satu jenggo sepit biru dan pelbagai saiz lain dinaikkan. Gegaran joran cukup mengasyikan ketika melayan mangsa yang cuba meloloskan diri. Sesekali bunyi seretan tali yang keluar dari drag menghangatkan lagi pertarungan. Ketika henjutan joran hingga melengkong itulah saat-saat yang membuat kami teruja dan seronok.

Zaidi Mat Amin dengan hasil tangkapannya

Misi pencarian mengheret kami sehingga lewat malam namun babak pertarungan tetap rancak dalam suasana malam yang agak sejuk. Di sekitar, kelihatan berkedipan lampu dari bot pemancing lain.

Dikatakan ada satu tempat yang pemancing perlu elakkan daripada berlabuh waktu malam atau memancing berseorangan kerana dikatakan ada makhluk halus mengacau atau mengganggu ketika kita leka memancing.

Terdapat satu lagi pam pasir yang terletak di kepala sebuah pulau berhadapan dengan Kampung Terlang yang mana terdapat rimbunan pohon buluh di tepiannya. Makhluk halus dikatakan sering bertenggek di tepian bot dengan keadaan berkain putih dan berambut panjang. Kadang kala terdapat sampah besar seperti sebuah pulau besar yang hanyut menghampiri tempat kita berlabuh.

Ini diakui sendiri penduduk setempat dan pemancing yang pernah mengalami kejadian tersebut. Jangan dipandang ringan perkara sebegini. Sebagai langkah keselamatan, beringatlah dengan perkara ini kerana kita memancing sekadar hobi dan tidak perlu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ikan atau udang.

Selepas solat subuh, kami mula bergerak ke lokasi yang dikatakan dihuni oleh makhuk halus tersebut. Sekian lama kami berlabuh ada ragutan kasar dan ganas dirasai. Seekor demi seekor sepit biru kami daratkan sehingga tidak sedar waktu telah mencecah tengah hari. Kami menamatkan misi setakat itu untuk solat dan berehat.

Sesi petang, Zaini mengemparkan suasana apabila jorannya ditarik mangsa dengan kuat dan hampir terjunam ke sungai. Tidak ketahui apakah spesies yang akan muncul di permukaan sungai. Zaini berpeluh melayan mangsa dengan berhati-hati supaya mangsa tidak terlepas dan dia pula berputih mata.

Zaini mengambil masa 30 minit melayan mangsa yang akhirnya timbul juga di permukaan air. Seekor pari pasir kira-kira 4 kilogram menyerah kalah. Tangkapan ini disifatkan yang terbesar setakat ini berbanding saiz yang lazimnya dalam lingkungan 500 gram hingga 2 kilogram sahaja.

Trip kali ini dianggapkan berjaya dan memberangsangkan berdasarkan perolehan tangkapan yang memuaskan. Kami bertekad mengulangi kunjungan lubuk ini sedikit masa lagi.

9de3d9e3-1963-48c6-b89d-a2d8ea8df772

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  30  =  32