Bersih longkang jumpa tengkorak

 Bersih longkang jumpa tengkorak

Pekerja Plus menemui tengkorak manusia dan sebuah kereta ketika membersihkan longkang berhampiran cerun di laluan Yong Peng-Pagoh, semalam

Oleh Nurman Nasyriq

BATU PAHAT, 20 Feb: Pekerja penyelenggaraan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dikejutkan dengan penemuan tengkorak berhampiran sebuah kereta di kawasan cerun di  Kilometer (KM) 122.4 (arah Yong Peng-Pagoh), dekat sini  semalam.

Misteri penemuan tengkorak itu bakal terungkai selepas Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah memberitahu, terdapat kemungkinan ada kaitan dengan satu laporan polis berkenaan seorang lelaki hilang yang dibuat pada Jun lalu.

Mangsa dipercayai memandu kereta Hyundai Sonata sebelum hilang kawalan lalu  terbabas ke cerun berkenaan.

“Polis menerima maklumat daripada pekerja penyelenggaraan lebuh raya yang sedang melakukan kerja pembersihan longkang pada jam 1.10 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati kedudukan kereta berkenaan agak terlindung di sebalik semak yang bercerun dengan jarak lebih kurang 67 meter dari lebuh raya manakala tengkorak tersebut dijumpai berhampiran dengan kereta berkenaan,” katanya.

Ismail memberitahu, pemilik kereta Hyundai Sonata terbabit itu sudah dikenal pasti dan kini sedang menunggu waris untuk membantu siasatan dijalankan.

“Kami sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti mangsa melalui pemilik kenderaan yang dikenal pasti dan akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.

Tengkorak itu dihantar ke Jabatan Patalogi Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  56  =  60