BERSATU tegas pertahankan kesatuan politik Melayu

 BERSATU tegas pertahankan kesatuan politik Melayu

Oleh Serayu Suria

KLANG, 28 Mac – BERSATU tegas mempertahankan kesatuan politik Melayu walaupun pelbagai usaha memecahbelahkannya semakin giat dilakukan pihak lain.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihak yang mahu memecahkan kesatuan politik Melayu bukan BERSATU.

Datuk Wan Saiful Wan Jan

“Yang mahu membuka ruang untuk PKR dan DAP kembali berkuasa juga bukan BERSATU,” katanya.

Rakyat boleh menilai keikhlasan dan kesungguhan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) untuk berkhidmat dan menjaga kebajikan mereka.

Namun Wan Saiful yakin bahawa PN mampu mengambil alih Selangor dan mempertahankan Putrajaya.

Dalam ucapannya pada Majlis Dialog Penerangan BERSATU peringkat negeri Selangor di sini hari ini, Wan Saiful berkata perkara itu boleh menjadi kenyataan dan BERSATU harus berkerja keras untuk mencapainya.

“Sudah pasti kita perlu bersedia dan perlu berusaha memperkasa jentera parti untuk pertandingan berapa penjuru sekalipun.

“Kita perlu teruskan usaha menjaga kesatuan politik Melayu. Kesatuan ummah yang telah dibina dalam PN ini mahal harganya,” katanya.

Wan Saiful mengingatkan semua ahli BERSATU bahawa Presiden BERSATU dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengatakan dengan jelas dan tegas bahawa PN bersedia bertanding di semua kerusi sekiranya UMNO berkeras tidak mahu berunding untuk mempertahankan kesatuan politik Melayu yang ada sekarang.

“Jika kita berpecah, yang akan menghidu peluang dan keuntungan ialah DAP dan PKR melalui Pakatan Harapan,” katanya.

Menurut Wan Saiful lagi, PH sememangnya mahu undi Melayu berpecah supaya DAP dan PKR dapat kembali membawa agenda mereka dalam kerajaan.

BERSATU sentiasa menyeru kepada penyatuan agar kestabilan negara dapat diwujudkan dan dikekalkan, dan  struktur asas kuasa politik negara dapat dikekalkan.

Menurut Wan Saiful, jika terus ditekan, BERSATU sesekali tidak akan berundur dari perjuangan ini dan akan memastikan agenda perjuangan tetap dijulang seperti yang ditegaskan oleh Muhyiddin sebelum ini.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

57  −    =  52