Bersatu tak bertanding PRN Sarawak

 Bersatu tak bertanding PRN Sarawak

Muhyiddin menerima borang keahlian BERSATU Parlimen Pagoh sempena persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali ketiga di Dewan Belia Batu 28, Lenga, Muar

PAGOH – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Disember ini.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memberi laluan kepada parti komponen mereka, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilihat mampu memenangi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, tindakan yang diputuskan parti itu  membuktikan sokongan BERSATU yang menghormati parti tersebut.

“Kita juga telah berbincang di peringkat BERSATU bahawa kita tidak akan bertanding (PRN) kerana kita hendak memastikan parti yang sudah ada di Sarawak itu menang dengan cemerlang dan itu juga hasrat pimpinan GPS.

“Walaupun kita ada tempat tertentu yang parti percaya kita boleh menang, tetapi pandangan daripada pihak GPS perlu dihormati dan saya percaya GPS juga mempunyai kekuatannya tersendiri,” katanya selepas merasmikan Persidangan BERSATU Bahagian Pagoh Ke-3 di Dewan Belia Batu 28, Lenga, di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau tidak menolak kemungkinan GPS sedia bekerjasama dengan parti-parti komponen PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15) nanti.

“Pandangan daripada pihak GPS adalah kerusi sedia ada dikekalkan, cuma diperingkat PRU15 nanti ada gambaran yang mengatakan mungkin GPS akan memberi pertimbangan dimana parti lain boleh bersama mereka termasuk PN.

“Apapun kita tetap menghormati pandangan mereka dan atas dasar itu, jentera parti kita yang berada di sana akan tolong membantu untuk pastikan GPS capai kemenangan besar,” ujarnya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *