• Thursday, 17 June 2021, 2:09 pm

BERSATU persoal agenda PKR pertahan Iswardy Morni

 BERSATU persoal agenda PKR pertahan Iswardy Morni

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempersoalkan apa agenda Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila masih berhelah untuk mempertahankan Iswardy Morni, walaupun video Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak itu jelas menghina Yang di-Pertua Agong.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata walaupun kepemimpinan PKR sudah lama tahu, tetapi parti itu sengaja mengekalkan keahlian Iswardy.

“Apa lagi bukti yang diperlukan? Atau adakah sebenarnya pimpinan atasan PKR sengaja memberi ruang kepada Iswardy membangkitkan sentimen rakyat terhadap institusi YDP Agong?” kata Wan Saiful kepada Wacana.my, hari ini.

Beliau menegaskan, apa yang dilakukan Iswardy bukan soal isu sama ada perbuatannya bukan mewakili pendirian parti atau tidak.

“Isunya ialah kenapa PKR tidak mahu mengambil tindakan terhadap ahlinya yang terang-terang menghina YDP Agong? Apa agenda tersirat PKR sebenarnya?” katanya.

Wan Saiful turut meminta PKR memberikan bukti jika PKR kononnya sudah memberi amaran keras kepada Iswardy sebelum ini.

“Jika betul, tunjukkan bukti amaran keras itu. Ia mesti amaran rasmi. Bukan hantar WhatsApp macam kawan-kawan sahaja, tapi sekarang nak dikatakan kononnya amaran keras,” katanya.

Wan Saiful memberitahu, sudah beberapa kali pemimpin PKR membela mereka yang menghina institusi Raja-Raja Melayu secara terbuka.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat vokal membela Fahmi Reza yang menghina Tuanku Permaisuri Agong dan kali ini mahu ‘menyimpan’ Iswardy pula?

“Mana-mana parti yang benar-benar setia dan menjunjung institusi Raja-Raja Melayu sudah pasti tidak akan teragak-agak memecat ahlinya yang berkelakuan begitu. PKR bagaimana?” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, polis dilaporkan telah menahan Iswardy bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya menerusi video dalam Youtube yang didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula berkata, parti itu sedia mengambil tindakan tegas termasuk memecat Iswardy tetapi akan menunggu hasil siasatan polis sebelum mengambil tindakan tersebut.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *