BERSATU & PAS ikrar terus komited dalam PN

 BERSATU & PAS ikrar terus komited dalam PN

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Dalam usaha memperkukuhkan lagi kerjasama semasa parti politik Melayu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terus komited mempertahankan jalinan bersama kedua-dua parti itu sekali gus menolak sebarang usaha memecahbelahkan perpaduan yang sedia terjalin di dalam Perikatan Nasional (PN).

Langkah itu dilakukan kerana menginsafi pentingnya kestabilan politik sebagai teras kelangsungan Kerajaan PN dalam membela kebajikan rakyat terutama buat masa ini bagi menangani pandemik COVID-19.

Hasil pertemuan kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu semalam, satu kenyataan bersama hari ini dikeluarkan menerusi Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menyatakan kedua-dua parti bersetuju merangka hala tuju kerjasama yang lebih mantap dan berstrategi di dalam PN.

Antara kerangka kerjasama yang dipersetujui adalah penubuhan Jawatankuasa Permesyuaratan yang akan merencana gerakan dan strategi parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ini termasuk rundingan pembahagian kerusi sebelum dibawa ke peringkat Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk diputuskan secara bersama di antara semua parti komponen.

“Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dimuktamadkan secara kolektif di kalangan semua parti-parti komponen,” kata kenyataan itu.

Selain itu, perkembangan senario politik terkini negara turut menjadi perkara tumpuan yang dibincangkan kedua-dua parti dan bertegas untuk menolak sebarang usaha mewujudkan penjajaran baharu dalam membentuk entiti kerajaan selepas PRU15 lebih-lebih lagi melibatkan Perikatan Harapan dan sekutunya.

Kedua-dua parti turut komited memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk serta bersedia bekerjasama dengan semua pihak yang mendokong prinsip tersebut, serta menolak sebarang usaha untuk memecahkan perpaduan sedia ada.

“BERSATU dan PAS menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan Bumiputera terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia lebih gemilang,” kata kenyataan itu lagi.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  25  =  29