BERSATU nafi terima komisen RM500 juta Goldman Sachs

 BERSATU nafi terima komisen RM500 juta Goldman Sachs

PETALING JAYA, 20 Mac – Parti BERSATU menolak tuduhan konon pihaknya menerima komisen RM500 juta untuk membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tuduhan yang tular dalam media sosial itu adalah fitnah untuk memburukkan parti berkenaan dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Datuk Wan Saiful Wan Jan

“Terkini timbul tohmahan mengaitkan BERSATU melantik ejen untuk ambil komisen daripada penyelesaian kerajaan dalam kes 1MDB. Ada juga tuduhan, kerajaan tidak telus dalam menangani kes 1MDB dan Goldman Sachs.

“Saya adalah ahli Biro Politik BERSATU dan juga ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan BERSATU. Saya tahu semua ini tidak berlaku. Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah ini. Tidak ada ejen yang dilantik. Tidak ada komisen diterima. Ini bukan budaya kami dalam BERSATU,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, pejabat seorang ADUN Selangor membuat laporan menggesa polis menyiasat dakwaan RM500 juta dibayar kepada sebuah parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi bagi membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Wan Saiful menegaskan, BERSATU tidak terlibat dengan perbuatan kotor seperti itu kerana sudah menjadi asas partinya ditubuhkan antaranya memperjuangkan integriti dan tadbir urus yang telus.

“Komitmen kami ialah memastikan kes 1MDB diselesaikan segera. Semua yang bersalah menerima keadilan dan dana negara yang dirompak dikembalikan untuk manfaat rakyat,” katanya sambil mempersoalkan kenyataan bersabit tuduhan itu dibuat wakil rakyat Pejuang dan DAP sama ada wujud strategi gelap secara bersama antara dua parti itu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +  1  =