BERSATU Johor tak gentar, sedia tanding PRU-15 tanpa UMNO

 BERSATU Johor tak gentar, sedia tanding PRU-15 tanpa UMNO

Timbalan Pengerusi BERSATU Johor, Senator Ir. Md. Nasir Hashim

JOHOR BAHRU, 13 Sept — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor tidak gentar untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atas tiket Perikatan Nasional (PN) tanpa kerjasama dengan UMNO.

Timbalan Pengerusi BERSATU Johor, Senator Ir. Md. Nasir Hashim berkata, pihaknya sudah siap sedia untuk PRU-15 malah yakin PN akan menang sekurang-kurangnya 40 kerusi daripada 56 kerusi DUN Johor.

“BERSATU, PAS dan parti lain di bawah gabungan PN Johor akan bertanding pada PRU-15 di semua 56 kerusi DUN tanpa penglibatan UMNO.

“Kemenangan ini akan dibantu atas faktor ketidakmampuan Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad menerajui negeri ini ketika ini.

“Kelemahan beliau akan menjadi pendorong utama untuk PN Johor menang besar nanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rabu lalu, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, parti itu dan Barisan Nasional (BN) Johor akan bertanding pada PRU-15 di semua 19 kerusi DUN yang telah dimenanginya sebelum ini,

Hasni berkata, parti itu juga bertegas tidak akan menggunakan simbol selain lambang UMNO dan BN, malah kerusi-kerusi menang yang ditandingi BN sebelum ini akan terus ditandingi calon BN pada PRU-15.

“Termasuk juga kerusi kita menang tetapi berpindah ke parti lain, susah kita nak berkompromi soal itu. Mungkin ada perkara yang saya rasa boleh, tetapi untuk kita tidak pertahankan parti atau tidak menggunakan lambang dacing adalah sukar untuk berlaku di Johor,” katanya.

Mengulas lanjut, Md. Nasir berkata, Hasni tidak wajar mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi politik ketika ini dan sepatutnya menumpukan usaha memerangi COVID-19 di negeri ini.

Beliau mendakwa, Hasni tidak serius dalam usaha menangani pandemik itu dan sehingga kini hanya bercakap secara retorik tanpa hasilnya.

“Bercakap retorik bolehlah. Oleh itu, rakyat Johor wajib menukar kepimpinan Hasni sekarang kepada PN.

“Hasni adalah satu-satunya Menteri Besar yang tidak menggunakan dana negeri untuk membeli vaksin sebaliknya hanya menunggu pemberian vaksin yang disalurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri.

“Jumlah vaksin yang diberikan Tan Sri Muhyiddin bernilai lebih kurang RM50 juta untuk Johor sahaja.
Sekiranya Hasni tidak berusaha untuk menangani COVID-19, bagaimana beliau akan memulihkan ekonomi Johor,” soalnya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  7  =