Bersatu Johor persoal keistimewaan diperoleh Najib berstatus banduan

 Bersatu Johor persoal keistimewaan diperoleh Najib berstatus banduan

Ketua Penerangan BERSATU Johor, Mohd. Solihan Badri

JOHOR BAHRU, 13 Dis — Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri mendesak kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi penjelasan mengenai layanan istimewa yang masih diterima oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak walhal sudah didapati bersalah di mahkamah.

Solihan mempertikai dan mempersoal Najib yang terus mendapat keistimewaan sedangkan sudah terbukti bersalah dan disabitkan hukuman terhadap jenayah dilakukannya, namun mengapa kerajaan masih memberi keistimewaan kepadanya.

“Selain soal keistimewaan menangguh hukuman dan memiliki pasport antarabangsa, kerajaan wajar menyemak hak beliau bebas bergerak dalam negara dan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen.

“Semua ini mesti dibezakan sama ada ia satu keistimewaan ataupun hak mutlak yang dijamin atau dilindungi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun Najib merupakan bekas PM tetapi sebenarnya berstatus seorang banduan, malah sudah didapati bersalah di dua mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan berhubung pertuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

“Jika keistimewaan kepada Najib diberi tanpa menggunakan kuasa undang-undang, maka, keistimewaan itu mesti ditamatkan serta-merta kerana ia bakal memberi pelbagai impak buruk,” katanya lagi.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  8  =