• Thursday, 17 June 2021, 1:43 pm

BERSATU gerakkan kempen PICK, akar umbi fahami SOP & PKP

 BERSATU gerakkan kempen PICK, akar umbi fahami SOP & PKP

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KECEKAPAN penghubungan (connectivity) adalah elemen penting bagi mengukur pencapaian atau prestasi seseorang, organisasi mahupun kempen. Apabila negara dilanda pandemik COVID-19, ternyata tumpuan kerajaan sekarang ialah membantu rakyat dan komuniti perniagaan serta melaksanakan pakej pemulihan ekonomi. Ini disusuli pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang mensasarkan 80 peratus penduduk mencapai imunisasi kelompok bagi membendung penularan jangkitan wabak daripada menjadi lebih buruk.

Kini tiba masanya semua pihak perlu melepaskan status sosial, politik dan apa sahaja menghalang mereka daripada sama-sama menyertai kerajaan membendung pandemik ini.

Apabila ada coretan netizen menyatakan akar umbi terutama di luar bandar tidak menerima maklumat mengenai PICK, maka ini manifestasi bahawa ia menuntut tindakan bersepadu dalam menyalurkan fakta dan rasional program itu. Tujuannya, PICK mencapai matlamat dan rakyat mendapat impak maksimum.

“Mereka tidak tahu bagaimana hendak mendaftar dalam talian. Kemudian ada viral dari kelompok anti-vaksin dan ada rakyat mulai percaya ada teori konspirasi Yahudi di sebalik penularan COVID-19.  Ini boleh menjejaskan PICK.

“Kebelakangan ini, ada pula pendaftar yang mula goyah dan tidak hadir pada tarikh mereka mendapat suntikan vaksinasi mungkin kerana keliru atau tidak yakin kerana ada dakyah-dakyah tidak bertanggungjawab,” kata Rasman Ithnain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili merangkap Ketua Sekretariat Khas COVID-19 BERSATU Johor.

Rasman Ithnain

Katanya, BERSATU Johor dalam situasi begini akan membantu gerakan kempen vaksinasi dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta PKP 3.0 menerusi 10 pejabat Bahagian parti di negeri itu.

“Ini adalah soal keselamatan rakyat yang mesti diutamakan oleh semua pihak dan BERSATU terpanggil untuk melunaskan tanggungjawab membantu kerajaan memerangi pandemik ini.

“Sepuluh sepanduk mengenai kempen, penerangan mengenai SOP dan nombor hotline akan dipaparkan di luar Pejabat BERSATU Bahagian serta lokasi strategik di setiap bahagian tersebut,” katanya.

Sekretariat itu juga berperanan menyalurkan bantuan kepada kelompok akar umbi yang terputus bekalan makanan kerana PKP dan menyediakan hotline bantuan di Ibu Pejabat BERSATU Negeri untuk dihubungi jika bagi kes-kes yang terlepas pandang untuk segera dibantu.

Kelmarin, sekretariat itu mengedarkan 10,000 botol air mineral dan pelbagai bantuan makanan serta bekalan pelitup muka yang diagih-agihkan ke UTM dan dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pasir Gudang dan Kempas.

“BERSATU juga akan membantu warga emas dan penduduk luar bandar bagi mendaftar dalam PICK dan satu talian hotline 013-5800016 diperkenalkan untuk membantu individu, khususnya warga emas yang telah mendapat temu janji untuk vaksin tetapi mempunyai masalah pengangkutan untuk ke pusat vaksinasi.

“Mereka boleh menghubungi nombor ini menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp ke talian itu bagi membantu menyediakan kenderaan secara percuma untuk membawa mereka berdasarkan temu janji,” ujarnya.

Sementara itu, pihak pengurusan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) akan mengatur tindakan untuk menyampaikan maklumat mengenai PICK kepada lebih 70,000 warga wilayah ekonomi di Terengganu itu.

Senator Datuk Razali Idris

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, ketika ini pihaknya membuka kaunter pendaftaran MYSejahtera pada setiap program dan pada masa sama sedang mendapatkan kerjasama daripada pihak Pengarah Kesihatan Negeri untuk menyebarkan maklumat mengenai PICK kepada akar umbi.

“Saya akan mempengerusikan mesyuarat mengenai penyelarasan tindakan tersebut, Ahad ini. Saya mahu warga KETENGAH lebih faham kepentingan vaksianasi COVID-19 dalam usaha menjadikan zon KETENGAH kawasan yang sihat,” katanya kepada Wacana.my.

Semalam, Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Hasni Mohammad mahu penglibatan semua Ahli Parlimen dan ADUN Johor dalam program advokasi serta menyebarkan informasi yang tepat dan sahih berkaitan usaha kerajaan menangani pandemik COVID-19.

“Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada semua Wakil Rakyat,” katanya sambil memberitahu semua Wakil Rakyat juga sepakat dan menyokong cadangan Kerajaan Negeri untuk memperkasakan peranan Pegawai Daerah, Pentadbir Tanah Daerah dan Yang Dipertua Majlis Daerah dalam usaha menangani pandemik COVID-19, khususnya dalam aspek penguatkuasaan.

“Saya menyeru semua Wakil Rakyat menggandakan keupayaan dan inisiatif bagi memerangi COVID-19 di kawasan masing-masing demi kebaikan rakyat, tatkala mereka sedang mengharapkan bantuan dan pembelaan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Irwan Abd Rahman

https://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *