Bersatu dalam kepelbagaian untuk keharmonian negara

 Bersatu dalam kepelbagaian untuk keharmonian negara

(Gambar Hiasan) Ahli Politik dan Ilmuan haruslah bersatu supaya negara kita kekal menjadi negara yang aman damai dalam kepelbagaian unsur dan tradisi. WMY/Supian Ahmad via Padu Photo

Ahli politik dan ahli ilmu haruslah bersama-sama berganding bahu menyatukan pemikiran dan tenaga untuk menangani segala isu dan masalah yang timbul di dalam masyarakat kita, terutamanya yang menyentuh isu agama, etnik, bahasa, budaya dan sebagainya. Hal ini saya tekankan, kerana konflik yang diuruskan oleh ahli politik biasanya lebih mementingkan politik partisan, iaitu dengan anggapan bahawa sesuatu pemikiran yang dimiliki oleh parti sendiri sahaja yang betul, sedangkan kefahaman parti politik lain, semuanya tidak benar.  Hal ini dihubungkan pula dengan etnik, Melayu beragama Islam, yang lain beragama lain, juga budaya dan cara hidup, sedangkan rakyat semuanya merupakan rakyat Malaysia, dan negara mempunyai Perlembagaan, Majlis Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong, dan pemerintah yang terdiri dari kepelbagaian agama dan budaya.

Saya pernah menjadi ahli Diplomat, walau pun sebagai Diplomat yang tidak terlatih, non carrier Diplomat, tetapi saya mendengar dan memahami pandangan ahli Diplomat negara dunia, yang menyatakan bahawa Malaysia ialah salah sebuah negara yang menjadi contoh terbaik sebagai negara kepelbagaian keturunan dan agama, budaya dan tradisi hidup, kerana dalam bidang profesional, rakyat Malaysia mempunyai keterampilan dalam sumber kehidupan kebendaan, ekonomi, perusahaan, dan lain-lain, sedangkan dalam keagamaan juga Malaysia terkenal ke seluruh dunia sebagai negara yang mencapai tahap yang baik dalam amalan agama yang sebenarnya, sesuai dengan kehidupan moden dan sesuai dengan pembangunaan dunia baharu. Sebahagian besar dari kejayaan Malaysia ialah kerana semua rakyatnya telah memberikan kerjasama dan membalas segala budi baik rakyat majoriti di dalam negara terhadap peluang dalam politik, ekonomi, pendidikan, dan cara hidup yang tertib dan menghormati semua sentimen agama dan budaya sama sendiri.

Amat wajar sekali dalam menghadapi situasi semasa, dan cabaran pandemik COVID-19 yang menyebabkan kemurungan manusia dan jiwa sendiri, yang menutup pintu rezeki dan pendapatan untuk hidup, tambahan pula bagi rakyat yang memegang tampuk perniagaan raksaksa yang hebat, maka keadaan ini, sering dibawa di dalam bidang politik sempit, perkauman yang fanatik dan sebagainya, sehingga medan perbincangan masyarakat menjadi tegang dan sensitif sekali, menyebabkan banyak peperangan mulut dan pertentangan idea, yang mungkin dalam jangka masa yang lama menimbulkan krisis yang lebih besar.

Saya mungkin lebih berhak berbicara bagi pihak umat Islam, iaitu Islam sebenarnya banyak panduan dari al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad SAW tentang etika dan adab pergaulan serta bekerjasama di antara manusia yang terdiri dari kepelbagaian kaum dan jenisnya untuk berkenalan dan hidup rukun damai dalam membangunkan kehidupan yang aman damai di dunia ini.  Nabi Muhammad SAW banyak menunjukkan contoh teladan yang baik tentang adab-adab pergaulan sesama Islam dan manusia lain yang sering menjadi contoh yang terbak untuk manusia seluruhnya

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan tentang etika pergaulan ini umpamanya ayat 46, surah (29) al-‘Ankabut yang bermaksud:

Dan janganlah kamu berbahas (berdebat) dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka, dan katakanlah (kepada mereka) “kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami, dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu, dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu adalah satu, dan kepada-Nya-lah kami patuh dengan berserah diri”.

Saya usulkan agar umat Islam meneliti kandungan ayat ini dan mengkaji tafsirnya yang baik dari para ulamak dan ahli tafsir yang tulen. Para pentafsir menerangkan tentang konteks dan kandungan ayat ini bahawa sekiranya berlaku perdebatan atau perbincangan di antara orang Islam dan orang bukan Islam, ahli Kitab, orang Yahudi dan Kristian, juga agama lain, maka janganlah kita berdebat dengan cara yang tidak baik, tetapi ambillah cara berhikmah, lemah lembut, dengan mengemukakan hujah secara ilmiah dan benar, yang dapat menyerlahkan kebenaran Islam dan perbezaannya dengan golongan lain yang tidak mengikut ajaran tauhid, supaya hal ini menjadi tradisi keagamaan, dan dengan sendirinya menjadi contoh perbincangan dan berdialog yang seharusnya dihormati oleh semua rakyat dan pimpinan negara, tanpa mengira agama dan bangsa, tetapi menurut nilai-nilai sejagat dan universal, yang termasuk dalam slogan ‘Bersatu dalam kepelbagian’ (Unity in Diversity) dan sebagainya.

Satu ayat di dalam surah al-An’am menyebut bahawa orang Islam tidaklah perlu memaki hamun segala berhala yang disembah oleh orang kafir, kerana hal ini boleh menimbulkan reaksi marah mereka pula, lalu mereka memaki hamun Allah SWT, sebagai menunjukkan kemarahan mereka kepada Islam. Pendeknya umat Islam haruslah melahirkan kebijaksanaan mereka dan keperibadian mulia yang mendapat penghormatan sesiapa sahaja.

Perbincangan yang dijalankan dengan berakhlak dan berdasarkan hujah yang meyakinkan, biasanya akan dapat diterima dengan baik juga oleh pihak lain. Bagaimanapun ayat-ayat di atas ini meramalkan  bahawa mungkin  akan terdapat golongan lain yang akan bertindak secara yang zalim, iaitu tanpa tolak ansur, maka dalam keadaan ini umat Islam haruslah bertegas untuk mempertahankan akidah itu mengikut situasi penentangan yang ditujukan kepada umat Islam sendiri. Oleh itu umat Islam sendiri haruslah mempunyai strategi yang baik dalam hal ini, dan di sinilah rasanya para ahli ilmu, para bijak pandai, ulamak dan umarak seharusnya dapat bersatu hati menjelaskan hal ini dengan sebaik-baiknya kepada pihak yang bertindak zalim, mengikut istilah al-Quran itu, tanpa menghancurkan keharmonian di antara umat manusia seperti yang sering juga berlaku di dalam dunia pada hari ini.

Masyarakat Malaysia juga mengalami kejutan ini, dan sehingga ke hari ini banyak saksi yang tampil mengemukakan bukti dan pengalaman masing-masing ketika berlaku perpecahan yang serius di dalam masyarakat negara kita sendiri akibat dari elemen ini, atau pentafsiran yang dibuat oleh orang awam tentang wujudnya kumpulan-kumpulan pelampau tertentu di dalam masyarakat dari segelintir masyarakat yang boleh merosakkan keharmonian seluruh negara. Ramai di antara kita yang masih menggambarkan bagaimanakah keadaan  masyarakat Malaysia akibat dari peristiwa 13 Mei yang menimbulkan konflik hebat dalam masyarakat perkauman negara, selain dari masalah agama dan politik yang berlaku di dalam negara ini, sehingga menimbulkan keadaan yang tidak tenteram di dalam masyarakat. Namun kita merasa bangga kerana dengan kebijaksanaan pemerintah dan rakyat sendiri, maka pengalaman yang kita dapati dari peristiwa itu banyak memberikan iktibar dan pelajaran kepada rakyat semua untuk hidup secara aman damai di dalam masyarakat negara ini.

Para sarjana dan rakyat kepelbagaian tradisi dan keturunan, seharusnya mempelajarai sejarah kesejahteraan manusia dan  negara dari segala konflik dan permusuhan dunia yang berlaku pada zaman moden ini, sehingga menyebabkan berlaku penghijrahan manusia  dari negara mereka, pelarian perang yang semakin meningkat, tertutupnya peluang anak-anak sekolah di negara sendiri, kematian yang sering terjadi di dalam lautan ketika kenderaan laut tenggelam dengan muatan manusia yang melarikan diri dari kelaparan dan menyelamatkan nyawa sendiri, dan segala peristiwa hebat dan menyedihkan, yang hingga kini nampaknya kita di negara yang kecil ini masih belum mengalaminya dengan keadaan yang sehebat dan sesedih begitu.

Bagaimana pun pemantauan dan pengkajian tentang isu dunia moden yang mengalami kegelisahan dan krisis kerana politik negara pada hari ini haruslah disedari oleh rakyat, dan kajian yang menyeluruh hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah dan ilmu dari segenap lapisan rakyat dan kepelbagaian ethnik dan pegangan agama yang berada di dalam negara kita ini, supaya negara kita kekal menjadi negara yang aman damai dalam kepelbagaian unsur dan tradisi.

Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *