BERSATU bakal semeja GERAKAN, PAS bincang strategi PRN Johor

 BERSATU bakal semeja GERAKAN, PAS bincang strategi PRN Johor

JOHOR BAHRU 23 Januari – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor bakal duduk semeja dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN), iaitu GERAKAN dan PAS bagi membincangkan strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada masa terdekat.

Namun sebelum itu, Setiausaha BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin memaklumkan parti tersebut akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan secara terperinci PRN susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, semalam.

Dr. Sahruddin Jamal

Menurutnya, mesyuarat berkenaan akan dihadiri semua 26 ketua bahagiannya selain jentera pilihan raya negeri.

“BERSATU Johor pimpinan Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden parti akan bermesyuarat bagi membincangkan secara terperinci PRN Johor yang bakal diadakan.

“Mesyuarat ini akan membincangkan beberapa perkara berkaitan, termasuklah persiapan dan persediaan jentera bagi menghadapi PRN Johor yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada PRN diadakan selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, di sini.

Dalam pada itu, Dr. Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor menegaskan bahawa BERSATU Johor menjunjung kasih dan mengambil maklum tentang pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.
“Sebagai sebuah parti berdaftar, BERSATU Johor sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara dan amalan demokrasi serta menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“BERSATU Johor sentiasa meletakkan soal kemaslahatan negeri dan rakyat sebagai keutamaan, sekali gus akan terus memberikan khidmat demi kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

33  +    =  41