BERSATU alu-alukan pendirian UMNO Sabah teruskan kerjasama

 BERSATU alu-alukan pendirian UMNO Sabah teruskan kerjasama

Oleh Iqhram Ahmad

KOTA KINABALU, 9 Mac : Pendirian UMNO Sabah untuk meneruskan kerjasama menerusi
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat dialu-alukan parti BERSATU.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu telah menunjukkan hasrat rakyat di Sabah untuk melihat satu bentuk perpaduan erat kedua-dua parti demi kestabilan politik.

“Negara memerlukan satu bentuk kestabilan politik yang padu untuk menangani isu lebih besar iaitu ekonomi dan pembangunan negara. Pendirian itu selari dengan perjuangan gabungan itu untuk membentuk perpaduan erat demi kestabilan politik di Sabah.

“Rakyat menaruh harapan supaya pendekatan politik yang diambil satu pendekatan yang menjanjikan kestabilan politik dan masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, BERSATU amat mengalu-alukan UMNO Sabah untuk terus bekerjasama dengan BERSATU di peringkat negeri Sabah di bawah GRS.

Ronald berkata, pendirian UMNO Sabah itu harus diterjemahkan ke peringkat nasional untuk membentuk satu gagasan politik yang dapat menjanjikan kestabilan politik menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

“Pilihan Raya Negeri Sabah yang lepas harus dijadikan iktibar bahawa rakyat memilih penjajaran baru yang menjanjikan kestabilan politik negara keseluruhannya,” tegasnya.

Beliau berkata, perpaduan antara parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) harus menjadi teras kepada pendekatan serta penjajaran politik yang baharu di negara ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Noor semalam menyifatkan kerjasama utuh antara BERSATU dengan UMNO Sabah tidak tergugat dengan senario politik semasa di Semenanjung.

Jumaat lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah,Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah ada autonomi dan akan meneruskan kerjasama dengan BERSATU dan parti-parti lain menerusi GRS.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

77  −  68  =