Berkorban tak dapat korban, 42 peserta sepakat batalkan program

 Berkorban tak dapat korban, 42 peserta sepakat batalkan program

Penduduk Taman Seri Inderapura, Mohd Izad Haikal melihat pagar dawai untuk menempatkan enam lembu ibadah korban namun program korban terpaksa dibatalkan berikutan peserta tidak mahu menanggung risiko wabak COVID-19.

KUANTAN, 19 Julai – Jawatankuasa Masjid Ittifaqiah Taman Seri Inderapura (MITSI), di sini mengambil keputusan membatalkan program ibadah korban apabila hampir semua 42 peserta memutuskan supaya program berkenaan dibatalkan.

Timbalan Pengerusi MITSI, Rashid Mohamad berkata, keputusan drastik berkenaan terpaksa dibuat dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19 dalam kalangan peserta korban termasuk penduduk setempat.

Menurutnya, kawasan Taman Seri Inderapura juga kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Lokaliti Berisiko Daerah Kuantan bermula 18 hingga 31 Julai. Penduduk tidak dibenarkan keluar kecuali kes tertentu sahaja.

Katanya, walaupun kebenaran melakukan ibadah korban telah diterima daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan namun peserta tetap sepakat untuk membatalkan program yang sepatutnya diadakan pada pagi Aidiladha, Selasa ini.

“Semua persiapan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan PAID Kuantan untuk program korban telah disediakan, antaranya pagar untuk menempatkan enam ekor lembu dalam kawasan khas sebelum disembelih.

“Saya terpaksa menghubungi pembekal lembu untuk menyatakan pembatalan pembelian lembu yang telah dijanjikan sejak beberapa minggu lalu,” katanya, pada Ahad.

Beliau berkata, walaupun terdapat dalam kalangan peserta berminat untuk meneruskan ibadah korban namun lebih daripada separuh daripada peserta yang menyatakan pendapat supaya program berkenaan dibataskan.

Rashid berkata, pihak PAID Kuantan turut mewajibkan semua petugas ibadah korban perlu menjalani ujian calitan atau swab test yang menelan belanja RM6,000 membabitkan 60 petugas.

Peserta, Rahimi Hashim berkata, dia reda apabila tidak dapat melakukan ibadah korban pada Aidiladha tahun ini berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Suratan takdir sudah tertulis yang kami penduduk Taman Seri Inderapura tahun ini tidak dapat melakukan ibadah korban, ada rezeki dan dipanjangkan umur tahun depan kita boleh melakukan ibadah berkenaan,” katanya lebih tujuh tahun menetap di situ.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  24  =  25