Berita yang baik untuk orang muda – Syed Saddiq

 Berita yang baik untuk orang muda – Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 7 Sept — Perintah Mahkamah Tinggi supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia melaksanakan undi untuk warga negara berusia 18 (Undi18) menjelang 31 Disember ialah berita yang baik untuk orang muda.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya berharap kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat menunaikan tanggung jawab kepada orang muda melalui pelaksanaan undi 18 ini seperti komitmen Perdana Menteri itu ketika menjadi Ketua Pembangkang pada Julai 2019.

Ahli Parlimen Muar itu ialah pemimpin yang berjuang menjayakan pelaksanaan Undi18 sebelum ini, ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Melalui kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Ismail Sabri, jelas ada komitmen untuk dilaksanakan Undi18 sebelum 31 Disember ini,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai dilaporkan berkata, pihaknya membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Syed Saddiq berkata, pihaknya turut menyingkap kembali usaha perjuangan pelaksanaan Undi 18 bermula 2018 di Parlimen hingga kini membabitkan tiga buah kerajaan berbeza.

Beliau berkata, pihaknya mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 2018 untuk berunding dengan semua Ahli Parlimen, termasuk dari UMNO dan PAS untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Kemudiannya pada Julai 2019, Dewan Rakyat sebulat suara majoriti bersetuju untuk menurunkan had umur mengundi ke 18 tahun.

“UMNO, DAP, PAS, PKR, Parti Warisan Sabah (WARISAN), Parti Amanah Negara (AMANAH), BERSATU dan semua parti bersetuju orang muda seawal usia 18 tahun boleh mengundi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun agak kecewa apabila Undi 18 ditangguhkan kepada selepas 1 September tahun melalui kenyataan SPR pada 25 Mac lalu.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

42  −  38  =