• Sunday, 20 June 2021, 8:37 am

Berhenti tuding jari, bantu tangani COVID-19

 Berhenti tuding jari, bantu tangani COVID-19

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 4 Jun — Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, rakyat perlu berhenti menyalahkan mana-mana pihak atau cuba menunjukkan mereka lebih mengetahui daripada orang lain dalam menangani pandemik COVID-19.

Permaisuri Johor bertitah, tiba-tiba ‘pakar’ pengurusan ekonomi dan pandemik muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan, tiada satu pihak pun yang terlepas daripada dipersalahkan dalam keadaan pandemik ketika ini.

“Persoalan yang ingin saya lontarkan, adakah tudingan secara berterusan ini kepada mana-mana individu atau pihak berkuasa akan membantu mengurangkan kes COVID-19?

“Jika jawapannya tidak, saya menyeru kepada yang berkemampuan untuk membantu hospital-hospital kita atau mereka yang ditimpa kesusahan dalam apa jua bentuk yang boleh,” titah baginda yang disiarkan dalam laman sosial Royal Press Office, hari ini.

Raja Zarith bertitah, rakyat mesti menerima hakikat bahawa peningkatan mendadak kes COVID-19 mempunyai asasnya dalam keengganan lapisan masyarakat kita untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Titah baginda, mencari kesalahan semata-mata tidak akan mengurangkan bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) atau mengurangkan tekanan dihadapi keluarga yang terpaksa bersempit dalam flat sebuah bilik mahupun mereka yang kehilangan pendapatan dan buntu bagaimana mencari nafkah untuk keluarga.

Permaisuri Johor bertitah, walaupun rakyat berhak untuk mengkritik dan mempersoalkan tindak-tanduk keputusan yang diambil kerajaan, mereka juga wajar bermuhasabah tentang kemampuan sendiri.

“Bukan semua dalam kalangan kita merupakan pakar perakaunan, ekonomi atau perubatan bertauliah yang kemahirannya diperlukan dalam pengurusan pandemik. Hakikatnya, tiada siapa pun dalam dunia ketika ini mempunyai pengalaman dalam pengurusan pandemik pada skala yang dihadapi sekarang.

“Sememangnya ‘trend’ kebebasan bersuara kini cukup mudah disalahgunakan dengan mengkritik atau mengejek orang lain di sebalik papan kekunci dan identiti yang tersembunyi,” titah baginda.

Justeru, baginda mencadangkan dua perkara konstruktif yang boleh dilakukan rakyat dalam membantu menangani pandemik COVID-19.

Baginda bertitah, rakyat perlu bersatu dalam membantu petugas barisan hadapan dan membantu mereka yang hidup dalam kesusahan.

“Keluarga saya akan meneruskan bantuan yang telah dilaksanakan sekian lama kepada golongan susah, kehilangan pekerjaan atau bergaji kecil yang kadangkala bersamaan dengan nilai sekali makan di restoran Jepun mewah.

“Mungkin bantuan kami kecil di mata sesetengah orang, tetapi kami tetap cuba membuat yang terbaik,” titah baginda.

Permaisuri Johor bertitah, hospital merupakan entiti yang paling terkesan sehinggakan ada sahaja kontena-kontena yang terpaksa diubah suai menjadi bilik mayat serta cabaran lain yang dilihat sepanjang tahun lalu.

“Apa salahnya kita tunjukkan walaupun sedikit, penghargaan atas segala pengorbanan mereka (petugas barisan hadapan) dalam merawat ataupun menyelamatkan pesakit dari ambang kematian,” titah baginda.

Raja Zarith bertitah, pandemik itu menampakkan jurang perbezaan antara mereka yang hidup senang dengan kurang bernasib baik serta melihatkan mereka yang sudi membantu dengan yang selesa di belakang papan kekunci masing-masing mencari kesalahan tidak berkesudahan.

“Kita mesti sedar bahawa kita semua mempunyai peranan untuk dimainkan. Pokok pangkalnya, pepatah lama ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ tetap terpakai dalam waktu yang cukup menakutkan dan tidak menentu kini,” titah baginda.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *