Bergoyang ratah kepala mayong

 Bergoyang ratah kepala mayong

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KOTA TINGGI, 14 Feb: Ini bukan goyang Tik Tok. Goyang dangdut gerudi pun bukan. Tetapi di Restoran Asam Pedas Tanjung Belungkor, dekat Desaru, di sini pelanggan akan bergoyang-goyang apabila makan di restoran atas rakit tidak jauh dari muara Sungai Johor itu.

Goyang di atas restoran terapung itu semakin asyik bila ada bot lalu. Gelombangnya bertalu-talu menghempas ponton. Makan di sini tambah asyik dengan hembusan angin laut dan terik matahari jam 12 tengahari.

Itulah kelebihan makan di restoran Puan Nor Lela Md Shah dan suami, Encik Mat Nawie Mohd Noor, yang dibuka sejak 2010 lalu.

Dengan nyaman suasana ini, pelanggan akan meratah ikan, menghirup kuah asam pedas dan memastikan tidak ada daging tertinggal pada kelapa ikan. Menu istimewa beliau yang mesra dengan panggilan Kak Lela, ialah asam pedas – bawal mas, sembilang, debam, belanak dan pari.

Namun asam pedas ikan mayong menduduki carta tertinggi permintaan pelanggan di premis  Restoran Kak Leha Goyang Terapung itu. Ia dijual RM5 sepotong manakala harga kepala mencecah sehingga RM13 sepotong.

Lauk lain yang perlu dinikmati ialah siput lemak cili api, udang sambal, siput gonggong dan ketam,

Populariti restoran itu menjangkau sehingga pelanggan dari luar kawasan.

“Pelanggan luar kami kebanyakannya dari Rapid Pengerang,  Johor Bahru, Melaka dan Kuala Lumpur,” katanya kepada wacana.my

Sambutan hangat pelanggan antara lain disebabkan lauk yang dihidangkan adalah ikan segar yang dibekalkan nelayan dari Teluk Belungkor.

Restoran dengan kapasiti kira-kira 50 kerusi itu memang strategik kerana terletak di pangkalan Kampung yang menjadi tumpuan pergi-balik penduduk Kampung Tanjung Surat.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1