Berdikari walaupun dalam kegelapan

 Berdikari walaupun dalam kegelapan

PEKAN, 20 Jun – “Dalam kegelapan ini saya tidak boleh terlalu bergantung kepada bantuan, tenaga yang ada perlu digunakan dengan sebaik mungkin.

“Saya melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga, antaranya menternak kelulut dan kini menjual pakaian terpakai,” kata Nordin Awang, 57.

Dia yang menetap di Kampung Batu 8 Lepar Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini berkata sebelum ini dia pernah menternak ikan puyu dan keli selain membekalkan benih pokok durian namun disebabkan beberapa masalah projek berkenaan terhenti.

Nordin Awang yang tidak dapat melihat kini mengusahakan ternakan kelulut secara kecilan. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

Menurutnya, dengan bantuan isteri, Sabariah Harun dan perempuannya dia tidak pernah berputus dan kecewa menjalankan apa juga perniagaan demi kelangsungan hidup bersama keluarga.

“Saya dilahir normal namun episod hilang penglihatan berlaku sejak kira-kira tujuh tahun lalu disebabkan kerosakan saraf belakang mata kronik.

“Sebelum ini saya mampu melihat walaupun dalam keadaan kabur namun kini mata saya tidak dapat digunakan lagi, doktor pakar mata Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan yang merawatnya tidak dapat membantu,” katanya yang sebelum ini memiliki kemahiran membuat rumah.

Beliau berkata, sebelum masalah penglihatan yang serius berlaku dia bertugas sebagai bilal masjid Al Muhajirin Kampung Batu 8 Lepar dan setiap kali Aidilfitri tugas utama ialah
menyampaikan takbir di pagi syawal bersama penduduk setempat.

Nordin berkata, setiap kali teringatkan kenangan di pagi Aidilfitri hatinya tersentuh, tugas yang sepatutnya dipikul hingga ke hari ini tidak dapat diteruskan walaupun keinginan begitu menebal.

Nordin Awang dibantu isterinya, Sabariah Harun mengusahakan ternakan kelulut secara kecilan. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

“Saya reda dengan ketentuan ilahi yang menguji keimanan dan kekuatan semangat,
kesukaran dihadapi perlu diharungi dengan rasa syukur.

“Pasti ada hikmah ujian yang diterima ini, saya tidak boleh mengeluh kerana itu adalah pemberian Yang Maha Esa,” katanya yang kini menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau menambah, dengan modal lebih RM1,400 dia sebelum ini mempunyai tujuh sarang kelulut yang mampu
memberi hasil RM100 hingga RM150 sebulan.
Namun katanya, baru-baru ini tiga sarang kelulutnya dicuri yang menyebabkan hasil jualan madu semakin berkurangan.

 

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *