Bercinta bagai nak rak, tiada jaminan akan kekal – Sona One

 Bercinta bagai nak rak, tiada jaminan akan kekal – Sona One

PETALING JAYA : Penyanyi hip hop dan komposer, Sona One tampil dengan single terbaru berjudul SAPE KATE yang dihasilkan sepanjang era pandemik yang melanda negara. 

Jejaka kacukan Melayu – Perancis dengan nama penuh, Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach ini tidak menafikan single terbaru ini diadaptasikan daripada pengalaman kisah cintanya sendiri. 

Tambah SonaOne lagi, adat dalam bercinta belum tentu berakhir dengan kemanisan.

“Bercinta bagai nak rak, berkorban perasaan dan macam macam lagi tak pernah menjadi jaminan ia akan kekal. Hal sama boleh diadaptasi dalam kehidupan. Terjemahan rasa yang terjerut itu juga divisualkan dalam video muzik lagu ini. Ia diarahkan ATG dan saya sendiri. Visual itu mewakili emosi yang bertebaran.

“Namun pada akhirnya hidup kena diteruskan. Kena ‘move on’. Menjadi kuat adalah pilihan yang ada. Untuk meneruskan hidup, kadang kadang perlu untuk melupakan kisah silam.

“Saya percaya penonton dan peminat dapat merasai apa yang cuba disampaikan menerusi emosi barisan pelakon yang ditampilkan,” katanya.

SAPE KATE adalah ciptaan bersama dengan Wolfy manakala liriknya pula adalah nukilan SonaOne sendiri bersama Axel Jonas itu dirakamkan sekitar Julai tahun lalu. 

Pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) menerusi lagu Apa Khabar dendangannya bersama Joe Flizzow itu menambah, SAPE KATA turut menyingkap penilaian diri yang menjurus kepada konsep konflik diri dan keraguan terhadap emosi.

“Ia sering terjadi pada tahap emosi itu sudah tak mampu dibendung lagi terutama tiada komunikasi terjalin di antara satu sama lain. Lagu ini mewakili satu rasa yang tidak selesa apabila dibelenggu hal yang meresahkan dalam kotak minda pasangan kekasih.

“Ia boleh jadi seperti penyakit bipolar (atau kecelaruan dwikutub) sejenis penyakit mental yang menyebabkan perubahan emosi, tingkah laku dan pemikiran. Ia seperti garis pemisah antara sikap yang memusnahkan dan kebencian terhadap diri.

“Jawapan kepada soalan apakah ia cetusan ilham kisah cinta sendiri, boleh jadi ya… atau sebaliknya. Ia terpulang kepada apa juga interpretasi atau tafsiran masing masing. Namun ia jelas bersifat peribadi.

“Tapi tak dinafikan ada input dan ilham itu datang daripada pengalaman sendiri. Namun saya melihat lagu ini daripada cerita umum atau adat berkasih sayang yang akan berlaku salah faham dan jiwa kacau,” katanya.

Lagu gabungan pop R&B dan hip hop ini akan dilancarkan di semua platform digital pada 12 November depan. Malah jika ada mengikuti perkembangan SonaOne di media sosial, teaser lagu itu ada dipromosi di akaun Instagram, Twitter dan halaman Facebook (Fanpage) Oktober lalu.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  5  =  12