Bencana teknologi umpama iceberg

 Bencana teknologi umpama iceberg
Oleh Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo

 

MUJUR Kerajaan Selangor dapat mengesan dua tempat pembuangan sisa bahan kimia (sisa toksik) secara haram di Kajang. Jika tiada tindakan pantas hasil aduan awam, sisa toksik itu berpotensi mencemai Sungai Langat. Begitulah berita yang dilaporkan sebuah akhbar awal Februari 2021.

Pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor pada Mac 2019 adalah bencana teknologi yang paling memudaratkan akibat pencemaran sisa toksik secara haram di Malaysia. Lebih 6,000 penduduk terjejas dan 2,775 orang dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Bencana teknologi ini menyebabkan suasana huru-hara seketika dan 111 sekolah diarah tutup demi keselamatan pelajar.

Apa yang berlaku ialah kegiatan haram pembuangan 2.43 tan sisi kimia bertoksik oleh lori tangki di pinggir Sungak Kim Kim. Bahan itu adalah sisa kilang pemprosesan tayar iaitu buangan terjadual Enap Cemar Minyak (SW311) dengan kepekatan yang sangat tinggi. Hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan kadar pencemaran melebihi 150 kali ganda daripada yang dibenarkan. Keadaan begini menyebabkan gas yang teruap ke udara berupaya mengancam keselamatan awam. Jenayah pembuangan sisa toksik bukan pertama kali. Ia sudah banyak kali berulang dan melibatkan banyak pihak.

Pelbagai peristiwa mewarnai tahun 2020. Selain dilanda pandemik COVID-19, sungai di Lembah Kelang pula beberapa kali diancam pencemaran sisi toksik sehingga menganggu bekalan air minuman. Pada 19 Oktober 2020 umpamanya, pencemaran bahan kimia di Sungai Selangor menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa tutup. Akibatnya sebanyak 1,196,457 akaun air bagi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang diberhentikan selain banyak kilang tidak dapat beroperasi.

Pencemaran sisa toksik pada tanah dan air terus meningkat, dan satu demi satu bencana teknologi mulai mengancam kesihatan manusia dan aktiviti ekonomi. Jika senario ini tidak berubah dan intervensi berkesan tidak dapat dilakukan, keadaan akan menjadi lebih serius dan bencana teknologi di luar kawalan. Apa yang terjelma kini hanya ibarat ‘puncak ais dalam lautan’ (tip of the iceberg), yang kelihatan hanya secebis daripada ancaman yang lebih besar. Apakah kita telah meneliti punca fenomena pembuangan sisa toksik secara haram, melihat penyelesaian jangka panjang atau sekadar menyelesaikan masalah semasa?

Untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang, kerajaan perlu berbesar hati memperuntukkan dana untuk penyelidikan dan kajian forensik secara bersasar. Maklumat yang tepat berupaya mengupas punca masalah dan berupaya membantu penyelesaian secara berkesan.  Contoh, inventori tahap dan jenis pencemaran sungai di Malaysia dapat menyediakan maklumat mengenai status pencemaran dan prioriti tindakan. Saya berminat dengan kajian forensik yang bersifat proaktif, meneliti sejarah pencemaran di sesuatu wilayah dan tindakan intervensi untuk menghindar daripada risiko bencana teknologi yang hampir serupa berulang.

Di Malaysia, pengurusan sisa toksik diamanahkan kepada JAS. Berasaskan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) pelbagai tindakan proaktif diperkenalkan yang meliputi penyediaan pelbagai peraturan kawalan dan pemantauan. Peraturan ini mentafsirkan sisa toksik ialah buangan dalam bentuk pepejal, cecair atau gas yang menunjukkan ciri ketoksikan yang merbahayakan kesihatan manusia dan alam sekitar. Sementara peraturan kawalan terkandung dalam Peraturan Kawalan Alam Sekitsr (Buangan Terjadual) 1989 melibatkan 107 kategori buangan terjadual iaitu bahan mudah terbakar, mudah menghakis atau sisa toksik. Sebetulnya, akta dan peraturan sudah cukup mantap tetapi kelakuan manusia dan penjenayah alam sekitar didorong oleh pelbagai faktor luar jangkaan.

Kita mempunyai sistem pengurusan dan kawalan penggunaan bahan kimia bertoksik yang baik dan mengikut piawai antarabangsa. Begitupun, jika kecanggihan ini tidak disusuli dengan keupayaan pengurusan kerajaan negeri, tahap pengetahuan dan teknologi, serta prasarana yang mencukupi, sistem pengurusan sisa toksik sedia ada tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Sebagai contoh, sistem kawalan yang ketat menyukarkan pemain industri yang masih muda memenuhi syarat untuk mendapatkan lesen. Akibatnya, mereka cenderung untuk membina kilang tanpa kelulusan dan membuang sisa toksik secara haram.

Kilang yang menggunakan banyak bahan kimia bertoksik seeloknya ditempatkan di kawasan perindustrian khas dengan prasarana sokongan yang baik dan mesra pengguna. Jika terdapat sistem pembuangan sisa toksik secara berpusat dan mudah dicapai oleh pemain industri serta dengan kos berpatutan, ini juga dapat mengurangkan potensi untuk mereka membuang sisa toksik secara haram. Ada yang menyatakan, semua kemudahan begini melibatkan kos yang tinggi, sementara kuantiti bahan buangan bertoksik masih kecil. Oleh itu, pengurusannya merugikan. Di sinilah dasar yang tepat diperlukan iaitu dasar yang mengutamakan kesihatan awam dan bukan keuntungan semata-mata. Banyak kemudahan pencemaran alam sekitar pada peringkat awal perlu disokong oleh kerajaan sebelum ia boleh berdikari.

Penyelesaian jangka panjang paling berkesan ialah pendidikan awam mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan tanggungjawab bersama bagi memastikan ia terus terpulihara. Bagi pengusaha dan pekilang, mereka perlu memastikan usaha mereka tidak mencemar sungai dan beriltizam untuk menghasilkan produk yang mesra alam. Pegawai awam perlu tegas dalam hal-ehwal dasar dan pelaksanaan melibatkan alam sekitar, serta tidak berkompromi untuk mengambil tindakan kepada mereka yang tidak menghormati alam sekitar. Lebih penting lagi, masyarakat awam dan komuniti setempat perlu bersikap proaktif dan sentiasa bertindak menjadi khalifah untuk melindungi integriti alam sekitar.

Penjenayah alam sekitar mungkin hanya segelintir di dalam sesebuah negara. Apa sahaja perundangan atau peraturan yang diperkenalkan, mereka akan terus melakukan jenayah ini untuk mendapat wang mudah. Jika penguatkuasaan lemah dan peluang melakukan jenayah besar, gejala negatif ini mungkin akan terus meningkat ke tahap yang sukar dibendung. Pengilang haram akan menggunakan perkhidmatan penjenayah alam sekitar untuk melupus sisa toksik dan inilah yang sering berlaku di negara kita.

Ekonomi ialah untuk poket sendiri, sara hidup keluarga serta membina kekayaan. Kita tidak perlukan peraturan canggih untuk menjayakan kehendak ini. Kesejahteraan masyarakat nyata di hadapan mata, ada yang miskin dan kaya. Masyarakat perlukan pelbagai prasarana untuk hidup selesa. Suara mereka menjadi penentu siapa bakal menjadi pemimpin negara. Malangnya, alam sekitar tidak pernah bersuara. Bisingnya hidupan liar dan kicauan burung tidak pernah difahami. Kerosakan akibat bencana alam pula, hanya tersimpan dalam ingatan buat seketika. Manusia itu bodoh sebenarnya, alam tidak memerlukan kita, tetapi kita perlukan perkhidmatan alam untuk terus hidup di bumi ini.

Penulis ialah Felo Utama, Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI), UKM serta Ketua Kluster Alam Sekitar & Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

18  −    =  8