Bencana alam, bukan berpunca dari pembinaan lebuhraya – EKVE

 Bencana alam, bukan berpunca dari pembinaan lebuhraya – EKVE

KUALA LUMPUR: EKVE Sdn Bhd, pemegang konsesi Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) menegaskan bahawa kejadian banjir kilat yang berlaku pada malam 22 November 2021 lepas adalah berpunca dari bencana alam hujan yang sangat lebat, dan bukan dari kerja-kerja pembinaannya.

Menurut bacaan Meteorologi di Bukit Antarabangsa dan Puncak Atheneum, masing-masing menunjukkan bacaan kadar ketumpatan hujan sebanyak 144mm dan 138mm yang dikategorikan sebagai sangat lebat yang berlarutan selama lebih kurang 3 jam di sekitar Ampang.

Ini menyebabkan aras air di Sungai Ampang khususnya telah naik mendadak dan melebihi paras bahaya sepertimana direkodkan di laman sesawangInfo Banjir Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) pada jam 7:30 petang, 22 November 2021.

Hasilnya, banyak kawasan-kawasan rendah termasuk jalan raya utama telah dinaiki air dan berlakunya banjir kilat di sekitar Ampang dan Hulu Langat. Perkara ini turut dijangkakan akan berlaku akibat musim Monsun Timur Laut sepertimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Bencana, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 17 November 2021.

Jurucakap EKVE menyatakan bahawa kejadian banjir lumpur di kawasan sekitar Ampang ini bukan berpunca dari pembinaan lebuhraya. Malah, kejadian tersebut yang menimpa sebahagian besar kawasan Ampang dan Hulu Langat adalah bencana alam dan ianya adalah di luar kawalan sesiapa pun.

“Walau bagaimanapun, pihak EKVE telah mengambil langkah memberi bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan terlibat dengan turut menjalankan kerja-kerja pembersihan dan lain-lain mengikut keperluan yang dikenalpasti,” menurut jurucakap EKVE.

Selain itu, kemajuan kerja pembinaan di tapak sehingga akhir bulan Oktober 2021 telah mencapai 95% dan kerja-kerja pembinaan hanya berbaki kerja jambatan, tembok penahan, roadbase, pavemen dan bangunan plaza tol. Kesemua kerja-kerja tanah telah selesai di tapak.

Jurucakap EKVE juga menegaskan pasukan kontraktor sentiasa memastikan pelaksanaan sistem kawalan hakisan kelodak di tapak diselenggara dan ditambahbaik dari semasa ke semasa sepertimana pematuhan syarat-syarat EIA yang telah diluluskan. Pihak agensi bertanggungjawab juga sentiasa turun ke tapak bina untuk memantau pelaksanaan projek ini.

Pembinaan lebuhraya EKVE dijangkakan siap dan beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun hadapan.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

26  −    =  16