Belum ada pengumuman rasmi mengenai terma Sabah, Sarawak

 Belum ada pengumuman rasmi mengenai terma Sabah, Sarawak

Oleh Iqhram Ahmad

KOTA KINABALU, 9 April — Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak mempercayai berita tular di media sosial mengenai penggunaan panggilan terma ‘Wilayah’ bagi Sabah dan Sarawak yang dikatakan berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, pengumuman perkara sebesar dan sepenting itu seharusnya datang daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau pihak berkuasa yang sewajarnya.

Tambahnya, beliau tidak mengetahui dari mana punca maklumat tersebut atau siapa yang menyebarkannya.

“Itu saya tidak tahu dari mana tetapi kalau bukan datang dari JPM atau pihak lain yang ada ‘locus standi’, jangan percaya. Kita tunggu saja perkembangan seterusnya,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada berita yang tersebar itu adalah arahan dikeluarkan sebuah kementerian kepada jabatan dan agensi di bawahnya untuk menukar penggunaan negeri kepada wilayah untuk Sabah dan Sarawak adalah benar atau sebaliknya.

Beliau yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, isu penggunaan istilah wilayah untuk Sabah dan Sarawak memang ada disebut oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika lawatannya di Sarawak minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, belum ada kata putus mengenai perkara itu kerana penelitian lanjut perlu diadakan termasuk bagaimana untuk membezakan istilah wilayah untuk Sabah dan Sarawak dengan istilah wilayah untuk Labuan.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri ketika lawatannya ke Sarawak, beliau mengatakan Sabah dan Sarawak bukan negeri tetapi lebih tinggi daripada negeri iaitu wilayah.

“Wilayah yang dimaksudkan ialah dalam konteks penubuhan Malaysia, ada tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu bercantum membentuk federasi (Persekutuan).

“Bererti ia tidak setaraf dengan negeri di Semenanjung, sebab itu ia disebut wilayah, namun terdapat kekeliruan sebab Labuan juga disebut wilayah. Jadi, ia perlu dilihat sebagai satu interpretasi berbeza.

“Istilah wilayah bagi Labuan lebih rendah daripada negeri tetapi istilah wilayah bagi Sabah lebih tinggi daripada negeri di Semenanjung dalam konteks penubuhan Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa akan datang ketiga-tiga wilayah hanya perlu disebut Sabah, Sarawak dan Semenanjung tanpa menyebut negeri bagi menepati maksud setaraf dalam konteks penubuhan Malaysia.

Sementara itu, Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, tidak timbul persoalan baik atau buruk penggunaan istilah wilayah untuk Sabah dan Sarawak.

“Istilah itu adalah untuk membezakan Sabah dan Sarawak dengan negeri lain di Semenanjung. Kita tidak sebut negeri Sabah atau negeri Sarawak tetapi kita sebut perkongsian sama taraf dengan Semenanjung.

“Tiga entiti ini iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah setaraf tidak kira sama ada istilahnya disebut wilayah atau apa, yang penting maksudnya menunjukkan ketiga-tiganya adalah setaraf,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1