Belanjawan Johor inklusif, tumpu usaha pulih ekonomi pasca COVID-19

 Belanjawan Johor inklusif, tumpu usaha pulih ekonomi pasca COVID-19

MERSING – Belanjawan Johor 2022 yang akan dibentangkan pada 18 November ini akan memberi tumpuan terhadap usaha memulihkan ekonomi pasca COVID-19 dan mengambil kira kepentingan pelbagai pihak.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri sedia amat menyedari cabaran yang dihadapi rakyat ekoran ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang melanda sejak dua tahun lalu.

Hasni Mohammad (kiri) beramah mesra bersama peneroka Felda selepas menyampaikan sijil hak milik tanah kepada peneroka Felda Tenggaroh 1 dan Tenggaroh 7 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing, semalam.

“Ancaman COVID-19 yang kini beransur pulih bukanlah bererti bahawa ekonomi kita turut pulih sepenuhnya, tentunya tidak. Sesi libat urus ini bertujuan untuk berbincang bersama-sama kepimpinan daerah bagi menghasilkan bajet sempurna dan bersifat menyeluruh.

“Apa yang kita akan lakukan dalam usaha membantu rakyat adalah dengan memastikan pemulihan ekonomi, khususnya memperkasakan industri kecil dan sederhana (IKS) dengan memperbanyakkan pinjaman untuk mereka memulakan perniagaan.

“Selain itu, kita akan memastikan rakyat yang kehilangan pekerjaan diberi peluang dengan menyediakan pelbagai kemahiran ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ supaya mereka boleh bekerja, sekali gus membolehkan ekonomi dijana semula,” katanya pada Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda Tenggaroh 1 dan Tenggaroh 7 serta beberapa bantuan lain di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Tiga penerima menunjukkan sijil hak milik tanah disampaikan oleh Hasni di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, daerah Mersing mempunyai pelbagai potensi, khususnya daripada segi sektor pelancongan.

“Saya bersama-sama pegawai daerah telah berbincang tentang potensi yang ada di daerah ini, khususnya pelancongan marin. Daerah ini berpotensi untuk dibangunkan pusat pengajian tinggi berasaskan bidang marin.

“Menerusi kewujudan pusat pengajian ini, ia bakal menyerlahkankan khazanah negeri ini, selain memberi peluang kepada pembangunan setempat,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  2