Bekas wartawan berenang lebih 19km rentas Perhentian

 Bekas wartawan berenang lebih 19km rentas Perhentian

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 3 April. – Tidak dipercayai orang apabila seorang bekas wartawan yang dahulunya takut kepada air terbuka, mampu berenang secara solo merentas Saluran Laut Perhentian daripada Pulau Perhentian Kecil ke Besut di Terengganu.

Walaupun terdapat pelbagai larangan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP), ia tidak menghalang Ridzwan Rahim, 44, untuk berenang merentas laut Saluran Laut Perhentian daripada Pulau Perhentian Kecil ke Besut di Terengganu, 21 Mac lalu.

“Dulu, saya sebenarnya tidak reti berenang dan takut kepada air terbuka disebabkan sebuah kejadian semasa saya berusia sembilan tahun dimana saya hampir lemas. Saya akhirnya menewaskan rasa takut itu selepas berpuluh-puluh tahun apabila terdetik di dalam hati untuk belajar scuba diving.

“Lama-kelamaan saya menyedari bahawa badan manusia ini istimewa kerana badan manusia akan terapung secara automatik apabila berada di dalam air. Saya turut diajar oleh jurulatih renang saya ketika itu untuk sentiasa bertenang apabila berada di dalam air,” katanya kepada Wacana.my.

Membaca doa sebelum memulakan renangan

Ridzwan berjaya menghabiskan renangan sepanjang 19.087km itu dalam masa 8 jam 56 minit.

Walaupun berharap untuk menamatkan renangan itu dalam masa 8 jam, beliau bagaimanapun tidak kecewa dengan kejayaannya.

Tambahnya, beliau berlatih selama empat bulan bagi benar-benar bersedia disebabkan pelbagai perubahan undang-undang semasa PKP dan darurat yang diumumkan kerajaan.

Renangan sejauh 19.087km yang telah berjaya dilakukannya

“Walaupun tidak dapat berlatih di dalam kolam renang untuk tempoh yang lama, saya berjaya menemui kaedah alternatif untuk berlatih.

“Saya perbanyakkan latihan larian dan skipping bagi membina tahap ketahanan diri. Sebaik kolam renang dibenarkan untuk beroperasi, saya terus menggunakan manfaat yang ada.

“Latihan larian dan skipping itu banyak membantu kerana apabila kolam renang dibenar untuk beroperasi semula, saya berjaya berenang sepanjang 5km,” katanya.

Ridzwan melakukan sujud syukur selepas berjaya sampai di daratan

Beliau yang berlatih di PJ Palms Sports Centre di Petaling Jaya, di sini, turut berkata bahawa renangan paling jauh dibuatnya di kolam renang adalah sejauh 13km.

Apabila ditanya apakah detik inspirasi beliau untuk misi renangan solo itu, Ridzwan mengatakan bahawa renangan 5km yang dibuatnya di Besut ke Pulau Rhu pada September 2020 lalu, membuatkan beliau memasang cita-cita yang lebih tinggi.

“Saya ni bukanlah seorang perenang yang kuat. Apabila saya bertanya kepada rakan-rakan renang saya mengenai berenang merentas Selat Perhentian, saya agak terkejut apabila tiada orang yang mahu melakukannya.

“Berenang di dalam laut secara berseorangan memberikan kita pelbagai masa untuk berfikir. Saya amat berterima kasih kerana mempunyai krew sokongan yang mantap apabila tiba waktu rehat dan makan minum.

Ridzwan sempat beberapa berehat sebentar ketika lakukan renangan

“Berenang di dalam kolam renang dengan laut amat berbeza. Walaupun konsep renang itu sama, kita perlu mengambil kira cuaca sejuk, angin dan binatang liar seperti obor-obor,” katanya yang berehat setiap 45 minit.

Menurutnya, renangan itu merupakan cabaran yang baru kepada semua pihak yang terlibat.

Tambahnya, beliau turut menyatakan bahawa cabaran itu telah memberikan beliau ilmu yang baru serta penghormatan kepada air terbuka.

“Semua ini tidak akan terjadi jika saya tiada krew sokongan yang hebat. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Abdul Razak Abdul Aziz dan Tsuyoshi Sawada Amzar yang bertindak sebagai pemerhati, Shauqie Aziz sebagai jurulatih renang, Damien Ong-Yeoh (krew), Mohd Hafizuddin Amlin (kayaker) serta jurugambar Ariff Budiman Abdul Halim dan Mohd Fahmi Zainal Aripin.

“Saya amat menggalakkan serta bersedia untuk menolong sesiapa sahaja yang mahu melakukan renangan ini,” katanya.

Selain itu, Ridzwan juga pernah menyertai renangan laut pada peringkat antarabangsa di California, Amerika Syarikat.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  9  =  17