• Sunday, 20 June 2021, 11:42 am

Bekas timbalan pengerusi eksekutif bebas tuduhan miliki maklumat dalam saham

 Bekas timbalan pengerusi eksekutif bebas tuduhan miliki maklumat dalam saham

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Seorang bekas timbalan pengerusi eksekutif sebuah syarikat perkapalan, Malaysian Merchant Marine Berhad hari ini menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi di sini, melepas dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan mempunyai maklumat dalaman mengenai saham syarikat itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid  membuat keputusan itu terhadap Datuk R. Ramesh, 57, dan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dan denda RM9 juta yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 11 Sept 2019 selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

“Mahkamah membenarkan rayuan perayu, dengan ini perayu dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan itu,” kata Azhar.

Ramesh selaku perayu diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, Joshua Andran dan Abraham Au manakala Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Hashley Tajudin, Munira Masood dan Daniel Ariff, bertindak bagi pihak pendakwaan yang merupakan responden dalam rayuan itu.

Pada 29 April 2015, Ramesh mengaku tidak bersalah mempunyai maklumat yang tidak boleh didapati secara umum iaitu cadangan oleh Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) untuk menurunkan penarafan kreditnya ke atas Al-Bai’ Bithaman Ajil Islamic Debt Securities (BaIDS) Malaysian Merchant Marine Berhad.

Seseorang yang mengetahui maklumat itu akan memberi kesan material ke atas harga atau nilai saham.

Sehubungan itu, tertuduh  telah melupuskan lebih 10 juta unit saham miliknya yang dipegang dalam akaun Sistem Depositori Pusat.

Dia dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini pada 11 Jan, 19 Feb dan 22 Feb 2010 mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda minimum RM1 juta bagi setiap tuduhan.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen sebelum ini, seramai 16 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan termasuk tertuduh telah  memberi keterangan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *