Bekas pesakit COVID-19 hargai barisan hadapan

 Bekas pesakit COVID-19 hargai barisan hadapan

MASLINDA bersama rakan wad ketika di PKRC, MAEPS Serdang.

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Terpaksa berpisah dengan anak dan menjalani tempoh kurantin seorang diri di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), MAEPS Serdang selama seminggu.

Itu adalah antara kepayahan dan cabaran dihadapi seorang ibu tunggal, Maslinda Hassan, 38, setelah disahkan positif virus COVID-19, minggu lalu.

Maslinda memberitahu Wacana.my, beliau dan anak-anak mula menunjukkan tanda gejala demam sejak pertengahan April lalu.

“Anak sulung saya yang merupakan tulang belakang keluarga selama ini terpaksa bekerja untuk bantu menampung menyara keluarga kami, dari pekerjaan itulah dia dijangkiti COVID-19,” katanya.

Mohd Afiq Daniel, 19, bekerja sebagai pembantu penganalisis disahkan positif COVID-19 seminggu sebelum diikuti oleh ibu dan adiknya yang berusia 10 dan 14 tahun.

“Seorang lagi anak saya bersekolah di asrama turut dikuarantin pihak sekolah kerana sebelum disahkan positif, kami ada melawatnya di asrama,” katanya.

Maslinda bersama dua anaknya ketika meninggalkan PKRC MAEPS Serdang.

Memandangkan tarikh jangkitan berbeza, mereka tidak ke PKRC serentak. Hanya Afiq Daniel pada awalnya dan diikuti oleh Maslinda dan anak-anak lain seminggu kemudian.

“Ketika di PKRC saya lihat sendiri betapa penatnya petugas barisan hadapan melayan setiap pesakit dengan penuh tertib dan adab,” katanya.

Tambah Maslinda, beliau melihat bagaimana ada petugas barisan yang keletihan sehingga tidak mampu bercakap.

“Mereka menggunakan bahasa isyarat sahaja walaupun mereka tidak berada jauh dari satu sama lain,” katanya.

Maslinda berkata selain jumlah pesakit yang tinggi, kekurangan keperluan asas seperti mesin pencetak dan peralatan lain juga melambatkan tugas mereka.

“Kasihan saya lihat mereka ambil masa sangat lama mencetak senarai nama dan sebagainya. Hanya satu mesin cetak di tempat saya dirawat. Mungkin kawasan lain ada tetapi di wad kami banyak kekurangan peralatan namun, petugas barisan hadapan tidak pernah mengeluh,” katanya.

Maslinda berharap orang ramai juga tidak memandang serong kepada bekas pesakit COVID-19 kerana mereka telah disahkan pulih sebelum dibenarkan pulang.

“Sama-samalah kita memberi semangat kepada pesakit, bekas pesakit dan jaga keselamatan diri agar tidak menjadi sebahagian statistik pesakit COVID-19,” katanya.

 

 

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  2  =