• Thursday, 17 June 2021, 2:13 pm

Bekas jurufoto kini bergelar tauke perabot

 Bekas jurufoto kini bergelar tauke perabot

Pengasas bengkel perabut Pallet Works, Mohd Khairul Helmy Mohd Din. WMY/SUPIAN AHMAD

Oleh Supian Ahmad

 

PETALING JAYA, 23 Mei – Tidak pernah terlintas di fikiran minda pemuda ini yang beliau mampu mengusahakan sebuah perniagaan menghasilkan produk berasaskan kayu dan palet terpakai.

Malah bekas jurufoto sebuah syarikat gergasi media, Mohd Khairul Helmy Mohd Din seakan-akan tidak percaya kini dirinya sudah bergelar tauke kepada Pallet Works.

“Saya memulakan perniagaan ini secara serius sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu selepas terbabit dalam skim pemberhentian pekerja.

“Ketika itu, saya memang sudah ada perancangan untuk membuka perniagaan ini.

“Jadi menggunakan wang pampasan yang ada, saya berjimat sehabis boleh tanpa membuat sebarang pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan,” katanya kepada Wacana.my ketika ditemui di bengkelnya di Taman Medan di sini.

Kini hampir setahun beroperasi, produk Pallet Works mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelanggan.

Menurut Mohd Khairul, rata-rata pelanggannya lebih gemar memilih untuk membuat tempahan khas mengikut cita rasa mereka. Antaranya, kabinet dapur, rak kecil, meja makan dan almari pakaian.

“Kami menawarkan harga perabot serendah RM50 bergantung kepada jenis rekaan dan kayu yang diinginkan pelanggan,” katanya.

Dari segi perkhidmatan, Pallet Works buat masa ini hanya mengambil temphan di sekitar Lembah Klang.

“Sudah semestinya saya mahu meluaskan lagi  perniagaan ini ke serata tempat.  Mungkin akan bermula dengan negeri yang hampir dulu seperti Negeri Sembilan dan Melaka pada tahun depan,” tambahnya.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan produk atau perkhidmatan Pallet Works boleh berhubung terus dengan Mohd Khairul ditalian 013-3903056 atau di Facebook Palet Works.

Benarlah bagai dikata, rezeki Allah itu seluas alam semesta, selagi ada usaha dan ikhtiar, pasti ada jalan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *