• Sunday, 20 June 2021, 8:25 am

Bekalan benih cendawan warna tak ada sejak PKP

 Bekalan benih cendawan warna tak ada sejak PKP

Shafawira kini menumpukan tanaman cendawan tiram

Oleh Mohd Fikri Mie

 

PEKAN, 23 Mei – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, aktiviti menanam cendawan berwarna merah jambu dan kuning tidak dapat diteruskan berikutan tiada bekalan benih dari negara jiran.

“Selepas beberapa musim mengusahakan tanaman cendawan berkenaan, saya kini terpaksa menangguhkanya,” kata usahawan cendawan Shafawira Ramlee, 43.

Percubaan pertama beliau menanam cendawan berwarna sebelum ini begitu berjaya apabila ia tumbuh subur hampir sama dengan cendawan tiram kelabu yang mengambil masa 40 hingga 45 hari untuk membesar dan boleh dituai.

Menurutnya, walaupun saiz cendawan berwarna agak kecil dan keras, berbanding cendawan tiram kelabu yang sudah lama terkenal di negara ini namun permintaan pengguna begitu menggalakan.

“Cendawan berwarna masih asing bagi penduduk negara ini berbanding di Indonesia dan Thailand yang sudah lama mengeluarkan produk berkenaan hasil penyelidikan dilakukan golongan pakar di dua negara berkenaan.

“Saya difahamkan, pengusaha tanaman cendawan di dua negara itu menghasilkan cendawan dengan pelbagai warna yang menarik dan mampu memikat hati pengguna,” katanya yang berpengalaman lebih lima tahun mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu.

Shafawira mengusahakan tanaman cendawan di Pusat Pertanian Tanah Putih, di sini dan kini hanya menumpukan kepada tanaman cendawan kelabu bagi memenuhi permintaan pengguna di daerah ini dan Kuantan.

Beliau mempunyai lebih 20,000 bongkah cendawan tiram kelabu yang ditempatkan dalam empat rumah cambah dengan setiap hari pengeluaran antara 10 hingga 15 kilogram bergantung pada keadaan cuaca dan tahap kelembapan dalam rumah serta jumlah bongkah.

Menurutnya, pasaran cendawan tiram sebelum ini begitu menggalakkan dan dijual terus kepada pengguna selain dibekalkan kepada beberapa pemborong tetap. Bagaimanapun, sepanjang tempoh PKP, pasaran agak perlahan.

“Jualan produk pertanian termasuk cendawan kini terjejas selepas pihak berkuasa menghadkan kegiatan jualan di pasar malam, pasar pagi, pekan sehari dan pasar tani.

“Saya kini berusaha meluaskan lagi pasaran dengan menghantar ke pejabat kerajaan dan restoran, selain itu jualan secara dalam talian juga dilakukan menggunakan media sosial. Harga antara RM12 hingga RM16 sekilogram.

“Sokongan Jabatan Pertanian Negeri Pahang dan Pejabat Pertanian Daerah Pekan menambahkan kesungguhan saya mengusahakan projek tanaman cendawan yang sebelum ini diusahakan arwah ayah lebih 20 tahun,” katanya yang turut menjual bongkah cendawan untuk ditanam.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *