BECM gesa kerajaan timbang buka semula acara perniagaan, MICE

 BECM gesa kerajaan timbang buka semula acara perniagaan, MICE

Pemangku Pengerusi Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM), Datuk Vincent Lim

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM) menggesa kerajaan untuk menimbang membuka semula acara perniagaan atau sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) segera dengan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP).

Majlis itu berpendapat tidak ada sebab untuk sektor acara perniagaan terus ditutup sekiranya industri seni dan kreatif termasuk panggung wayang, galeri seni dan muzium boleh dibuka semula pada suku akhir 2021.

Pemangku Pengerusinya Datuk Vincent Lim berkata sektor acara perniagaan menyumbang lebih RM27.5 bilion kepada keluaran dalam negara kasar negara pada 2019.

“Pameran dan persidangan perdagangan penting bagi mata pencarian dan perniagaan kerana acara-acara ini mewujudkan pekerjaan dan menjana hasil berjuta ringgit bagi industri lain seperti pelancongan, hospitaliti, makanan dan minuman dan perkhidmatan seperti pengangkutan.

“Industri acara perniagaan terjejas teruk sepanjang tempoh sekatan selama 18 bulan. Kini masanya untuk membuka semula pintu ini bagi mewujudkan pekerjaan dan hasil yang penting bagi suku akhir untuk tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim juga menegaskan profesional acara perniagaan sentiasa mematuhi peraturan dengan ketat dan mendukung undang-undang di setiap pameran yang diadakan, sama ada pameran kecil tempatan atau pasaran utama bagi delegasi global.

“Dengan program vaksinasi negara kini menghampiri kadar 80 peratus dan semakin meningkat, kami tidak lagi boleh menyepi lebih lama lagi kerana acara perniagaan memerlukan minimum tiga bulan untuk merancang, mempromosi dan melaksanakannya.

“Membuka semula sektor itu sekarang akan memberikan peluang kepada kami untuk bergerak seiring dengan yang lain di seluruh dunia dalam perancangan dan kami tidak boleh menunggu lebih lama, kami akan ketinggalan kepada bandar raya global lain yang juga membida kepentingan dalam industri tersebut seperti Singapura, Thailand dan Indonesia,” katanya.

Lim berkata industri acara perniagaan merupakan penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia, justeru, ia perlu juga dikategorikan semula sebagai aktiviti ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara.

BECM mewakili sembilan persatuan perdagangan daripada industri pameran, persidangan, perancang mesyuarat, acara, pengurusan, hotel, pelancongan, acara langsung, runcit serta makanan dan minuman.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =