• Thursday, 17 June 2021, 2:27 pm

BBP Peramu sanitasi 15 surau dan 20 masjid di Pekan

 BBP Peramu sanitasi 15 surau dan 20 masjid di Pekan

Anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu melakukan sanitasi terhadap masjid di daerah Pekan

PEKAN, 9 Jun – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, di sini melakukan sanitasi terhadap 15 surau dan 20 masjid di daerah ini bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Sanitasi turut dilakukan di beberapa kilang, pejabat penghulu, dewan, pejabat kerajaan dan pusat vaksinasi COVID-19 dibawah selian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, pihaknya melakukan sanitasi terhadap surau dan masjid daerah ini selepas mendapat permohonan berbuat demikian daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Pekan.

Menurutnya, aktiviti sanitasi dilakukan secara berterusan di tempat tumpuan pengguna bertujuan mencegah penularan wabak COVID-19, semburan mengambil masa antara 30 minit hingga sejam bergantung keluasan tempat berkenaan.

Katanya, sanitasi ditempat pendaftaran vaksinasi di daerah ini lebih kepada untuk memberi lebih keyakinan kepada masyarakat yang datang bagi mendapatkan suntikan disediakan KKM.

“Dua lokasi vaksinasi di daerah ini ialah Dewan Peramu Jaya 3 dan Dewan Perumahan Dato Shahbandar telah di sanitasi, lapan anggota bomba dan penyelamat BBP Peramu terbabit dengan aktiviti berkenaan.

“Kita sentiasa memberi kerjasama kepada pentadbiran daerah Pekan dalam menjayakan aktiviti pencegahan dan pengawalan wabak COVID-19 di daerah ini,” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, pasukan khas ditubuhkan yang bertangungjawab sepenuhnya melakukan aktiviti sanitasi, semburan dilakukan selepas pihaknya mendapat permohonan daripada pihak terbabit.

Wan Samsul Effendi berkata, anggota yang terbabit dengan aktiviti sanitasi serta tugas operasi kebombaan sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh KKM.

“Saya ingin mengingatkan pada masyarakat supaya sentiasa menjaga keselamatan bagi mengelak berlaku kebakaran kediaman, cuti persekolahan menjadi faktor utama penggunaan gajet meningkat hingga ada bertindak membuat penyambungan elektrik secara tidak sah.

“Ibu bapa juga perlu memastikan anak mereka tidak bermain diluar rumah dalam memastikan tidak berlaku penularan wabak COVID-19,” katanya.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *