Bayi mangsa tikam bapa sendiri jadi inspirasi kepada NGO

 Bayi mangsa tikam bapa sendiri jadi inspirasi kepada NGO

Alia bersama Zara ketika mereka bertemu di hospital tempat Alia mendapatkan rawatan.

Oleh Suraya Ali

Kuala Lumpur, 22 Feb — Disember lepas negara digemparkan dengan berita seorang bayi berusia 18 bulan parah ditikam bapa sendiri.

Pada awal kejadian tersebut berlaku, tidak ramai yang meletakkan harapan anak sekecil itu akan selamat dan pulih dari kecederaannya.

Namun bayi perempuan yang hanya dikenali sebagai Alia (bukan nama sebenar) kini membuktikan dirinya mampu bangkit dari nasib malang yang menimpa dirinya.

Siapa sangka anak sekecil Alia yang baru berusia 20 bulan harus melalui liku hidup yang amat pahit dan sukar diterima ramai.

Alia ditinggalkan ibunya setelah ibu dan bapanya bercerai beberapa bulan sebelum peristiwa hitam pada 12 Disember 2020. Dipercayai tertekan dan dibawah pengaruh dadah, bapanya yang diharapkan Alia untuk melindunginya telah menikamnya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya telah menahan suspek dan merampas sebilah pisau pemotong roti yang disyaki digunakan untuk menikam mangsa.

Ketika kejadian, suspek yang berusia 27 tahun bersama anaknya di rumah dikatakan telah mengamuk secara tiba-tiba dan bertindak menikam perut anak perempuannya itu.

Beberapa hari selepas itu bapanya mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Hari ini si comel ini bergantung hidup menggunakan peralatan khas akibat kecederaan yang dialaminya.

Tanpa berkongsi maklumat terperinci, NGO Persatuan Kebajikan Anak Kami telah merayu kepada beberapa pihak bagi tujuan menaja keperluan perubatan Alia.

Sukarelawan Anak Kami yang dikenali sebagai Zara (bukan nama sebenar) memberitahu kes Alia amat memberi kesan mendalam kepadanya.

“Diwaktu tidak ramai yang memberikan harapan kepada Alia untuk pulih, lihatlah anak ini hari ini, dia ceria dan senyuman tidak pernah hilang dari wajahnya,” katanya ketika dihubungi Wacana.my hari ini.

Menurut Zara, Alia seakan telah lupa tentang peristiwa hitam itu dan dia hanya meneruskan hidup seperti kanak-kanak lain.

“Amat menyedihkan kerana doktor memberitahu Alia akan bergantung kepada peralatan khas dan susu khas demi kelangsungan hidupnya sepanjang hayat kecuali jika dia mendapatkan pembedahan ‘bowel transplant’ yang boleh mencecah jutaan ringgit kerana hanya dilakukan diluar negara,” katanya.

Tambah Zara lagi buat masa ini keperluan bulanan Alia dan kos mengubahsuai rumahnya bagi membolehkan Alia mendapatkan rawatan dirumah yang menelan belanja puluhan ribu ringgit akan dibiaya oleh seorang penderma yang berhati mulia.

“Perkara ini amat menyentuh hati kami bagaimana seorang yang tidak mengenali Alia sanggup membiayai kos yang tinggi kerana mereka jatuh hati kepada anak kecil ini pada kali pertama mereka bertemu, kami tak dapat bayangkan apa yang boleh membuatkan seseorang mencederakan anak kecil ini, dia tidak tahu apa-apa, lihat sahaja senyumannya tu,” kata Zara.

Persatuan Kebajikan Anak Kami banyak mendapat aduan kes seperti Alia dimana bayi atau kanak-kanak yang diabaikan, dibuang atau didera oleh ibu bapa sendiri.

Bagi yang mahu maklumat lanjut tentang kerja kebajikan oleh NGO ini boleh layari laman Facebook Persatuan Kebajikan Anak Kami.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

93  −  84  =